POLIS Pahang membuka satu kertas siasatan terhadap seorang usahawan terkemuka, Vieshantiekhan susulan tindakannya memuat naik status di platform berkenaan berhubung isu surat rentas negeri.
Vieshantiekhan mendakwa dia tidak memerlukan surat rentas negeri dari Selangor ke Janda Baik, Pahang pada Selasa lalu.
"Tidak perlu surat di Plaza Tol Gombak masih lagi sempadan Selangor yang nak lintas negeri tetap kena ada surat ya," ujar bekas isteri kepada pelakon terkenal, Datuk Eizlan Yusof itu di Instagram.
Ketua Polis Daerah Bentong, Pahang, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, satu laporan polis telah dibuat pada Rabu susulan status Vieshantiekhan yang turut memaparkan gambarnya sedang beriadah di Rimba Valley di Janda Baik.
Ujar Zaiham, hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada Selasa kira-kira jam 9.55 pagi melibatkan kenyataan yang tular dimuat naik wanita berusia 35 tahun itu.
"Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong telah membuka kertas siasatan berikutan penularan insiden tersebut.
"Susulan itu, pihak polis menafikan kenyataan mengelirukan oleh individu terbabit yang menyatakan tidak perlu surat rentas negeri dari Selangor ke Janda Baik.
"Kes disiasat di bawah Perkara17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikompaun RM5,000," jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden tersebut.
Tegas beliau, orang ramai perlu sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Sebarang aktiviti bertentangan dengan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) termasuk penyalahgunaan permit rentas negeri boleh dikenakan tindakan undang-undang," tegasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram