MAHKAMAH tentera Somalia menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun kepada seorang rakyat Malaysia, Ahmad Mustakim Abdul Hamid kerana didapati bersalah terlibat dengan aktiviti kumpulan Al-Shabaab.
Keputusan itu dibacakan oleh Ketua Mahkamah Angkatan Tentera, Kolonel Hassan Ali Nur Shuuto.
Menurut Atase Akhbar Kedutaan Somalia di Malaysia, Abdimajit M. Osman, bagaimanapun di bawah sistem kehakiman Somalia, Ahmad Mustakim berpeluang untuk buat rayuan.
Selain Ahmad Mustakim, mahkamah itu juga menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap seorang lagi warga asing yang ditahan bersamanya.
Ahmad Mustakim dipercayai masuk ke Somalia sekitar 2009 atau 2010.
Jelas Abdimajit lagi, Ahmad Mustakim, 34, merupakan rakyat Malaysia pertama yang didakwa membantu Al-Shabaab di Somalia.
"Ahmad Mustakim membantu kumpulan itu dengan memberikan pertolongan cemas.
"Dia juga mengambil bahagian dalam pertempuran di Mogadishu dan Dhusamareb," katanya.
Tambahnya, meskipun Somalia menjatihkan hukuman sedemikian kepada Ahmad Mustakim,
Perbicaraan Ahmad Mustakim bermula pada 2019 dan dia dilayan dengan baik serta mendapat perbicaraan yang adil mengikut undang-undang Somalia.
Menurutnya lagi, kerajaan Somalia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana warga asing yang menjejakkan kaki ke Somalia untuk menyokong kegiatan keganasan.
"Somalia sudah sekian lama dihimpit penderitaan kerana warga asing yang menyokong Al-Shabaab.
"Bagaimanapun, Somalia tetap mengalu-alukan rakyat Malaysia yang selalu memberikan bantuan," ujarnya.
Jelasnya lagi, Somalia dan Malaysia mempunyai sejarah hubungan yang erat. Kerajaan Somalia sentiasa berhasrat untuk mengukuhkan hubungan dua hala kedua-dua negara," katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah pada Sabtu berkata, pegawai Kedutaan Malaysia di Khartoum, Sudan sudah pun berhubung dan mengadakan lawatan konsular bagi memastikan kebajikan dan kesihatan Ahmad Mustakim sentiasa terjaga.
Katanya, Kementerian Luar akan terus pantau perkembangan kes ini dan hulurkan bantuan sewajarnya kepadanya.
"Kita akan memastikan supaya hak-hak dan kebajikan sentiasa terjaga di samping pastikan beliau dibicarakan secara adil berlandaskan perundangan sewajarnya.
"Pada masa sama, kita juga menghormati undang-undang negara tersebut dan mungkin kita akan minta supaya wakil kedutaan hadir ketika perbicaraan kelak,” jelasnya.
Al-Shabaab merupakan sekutu paling kuat al-Qaeda dan dikenali dengan serangan berprofil tinggi.
Antaranya, serangan 2013 terhadap Westgate Mall di Nairobi, Kenya selain terbabit dengan pembunuhan ahli politik dan pegawai tentera Somalia.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram