CAN komited untuk capai ESG pada 2023


  • Bizz
  • Jumaat, 24 Sep 2021

CAN membuat 14 komitmen yang harus dicapai oleh organisasi anggota di bawah tiga kategori iaitu persekitaran, manusia dan tadbir urus. β€” Agensi

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Action Network (CAN) pada Khamis, mengumumkan komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus korporat (ESG) supaya ia dapat dicapai pada 2023.

Pengumuman itu dilakukan menjelang Persidangan Perubahan Iklim (COP26) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Glasgow, Scotland pada November depan.

CAN yang merupakan gabungan informal pertama CEO terkemuka dan pembuat keputusan kanan di Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, komitmen itu sangat penting dalam membolehkan negara mencapai masa depan tenaga sifar bersih dan Wawasan Kemakmuran Bersama menjelang 2030.

"CAN membuat 14 komitmen yang harus dicapai oleh organisasi anggota di bawah tiga kategori iaitu persekitaran, manusia, dan tadbir urus dengan tiga tahap komitmen progresif untuk setiap kategori.

"Hampir semua anggota CAN telah menyatakan komitmen untuk sekurang-kurangnya satu set matlamat itu, bergantung kepada saiz organisasi dan tahap kemajuan mereka ketika ini mengenai penerapan yang mampan dan integrasi," katanya.

Tambahnya, sementara bagi anggota yang baharu mereka diperlukan untuk menandatanganinya dalam tempoh 12 bulan ini.

Sementara itu, Presiden dan CEO Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, perniagaan hari ini tidak mempunyai pilihan selain untuk memenuhi keperluan untuk kelestarian yang lebih besar.

Jelasnya, tempoh yang mencabar ini memberikan banyak peluang yang belum diteroka untuk mengembangkan dan menawarkan penyelesaian baharu kepada pasaran.

"Ia akan memberikan sumbangan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

"Kemajuan dalam bidang ini memerlukan tindakan kolektif daripada semua pihak berkepentingan," katanya.

Muhammad Taufik berkata demikian pada β€˜The Cooler Earth (TCE) Sustainability Summit 2021’ anjuran CIMB yang diadakan secara maya pada Khamis.

Hurainya lagi, tindakan tersebut mestilah membolehkan pembentukan usaha untuk membangunkan penyelesaian terhadap masa depan yang lebih mampan.

Beliau berkata, hasil komitmen kolektif itu seharusnya membawa kepada perubahan positif.

Ketua Kumpulan Kelestarian CIMB Group dan Pengerusi Kumpulan Kerja CAN, Luanne Sieh, juga berkata, komitmen kolektif berhubung perkara itu telah dirancang.

Jelasnya ia bertujuan untuk mencabar anggota CAN di pelbagai tahap untuk komited melakukan tindakan seterusnya.

"Kumpulan kerja CAN bekerjasama dengan ahli dan rakan kongsi untuk mengurus kandungan dan merancang aktiviti.

"Ia akan membantu organisasi ahli membina pengetahuan, keupayaan dan kemahiran mereka untuk bergerak ke tahap penerapan mampan dan integrasi yang lebih ke hadapan," ujarnya.

Pembentukan CAN pertama kali dicetuskan pada Summit Earth Summit 2019 dan kemudian dibentuk pada tahun 2020. β€” Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram