VIDEO tular membabitkan sekumpulan anak muda yang berbasikal di sekitar Kuala Lumpur disahkan berlaku pada 18 September lalu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) apabila aktiviti itu dikesan berlaku pada jam 11.40 malam.
“Hasil penelitian ke atas video mendapati, aktiviti berbasikal tersebut berlaku pada 18 September lebih kurang jam 11.40 malam di Jalan P. Ramlee menghala ke KLCC, Kuala Lumpur.
“Polis Dang Wangi telah mengesan aktiviti berbasikal tersebut dan telah menyuraikan mereka pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Katanya, polis menemui kumpulan berkenaan berada di sekitar Jalan Sultan Ismail dan Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur sebelum memberi amaran dan mengarahkan kesemua yang terlibat untuk beredar dan pulang ke rumah.
Tegasnya, meskipun Kuala Lumpur kini telah beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun ia bukan alasan menjadi alasan orang ramai untuk tidak mematuhi SOP PPN.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau anak-anak mereka yang berusia bawah 17 tahun, agar tidak terlibat dengan aktiviti berkenaan pada waktu tidak sepatutnya.
Video berdurasi 59 saat itu tular di Facebook pada selasa menyaksikan sekumpulan anak muda berbasikal pada lewat malam selain turut melanggar SOP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram