KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menggesa semua pengusaha dan pengguna fasiliti gimnasium yang telah diberi kebenaran untuk kembali beroperasi supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ia bagi mengelak kelonggaran yang diberikan itu ditarik balik jika SOP diabaikan sehingga boleh menyebabkan risiko penularan wabak Covid-19.
"Semua orang mendapat berita gembira semalam apabila MKN (Majlis Keselamatan Negara) telah mewartakan pembukaan semua sukan indoor termasuk boling dan gimnasium mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan di KBS, MKN dan Kementerian Kesihatan (KKM) di atas usaha yang dilakukan untuk mendapat kebenaran beroperasi itu.
Menurut kemas kini SOP terbaharu MKN, semua pusat gimnasium, kecuali di negeri yang masih berada dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) kini dibenarkan kembali beroperasi tetapi terhad untuk penggunaan individu yang telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 dengan kapasiti 50 peratus.
Sementara itu, Ahmad Faizal mengumumkan Kompleks Sukan Ekstrem Bukit Kiara, yang turut dikenali sebagai Kiara Skatepark yang ditutup sejak 2019 untuk pengubahsuaian, turut akan dibuka kepada orang ramai dan atlet papan selaju (skateboarders) dengan kerja-kerja baik pulih kini di fasa akhir.
"Selepas dibuka nanti, skateboarders kita boleh kembali ke ‘rumah’ mereka. Saya harapkan skateboarders mengambil sukan ini dengan serius kerana dunia mula memberi pengiktirafan selepas dimasukkan sebagai sukan tawarkan pingat di Olimpik Paris 2024...kalau boleh kita nak ada wakil negara bertanding di sana.
"Kita akan buka juga kepada orang ramai dengan menaruh harapan melahirkan lebih banyak bakat baharu. Saya nak ucapkan penghargaan KBS kepada dua syarikat, Vans dan U Mobile yang membantu kita membaik pulih Kiara Skatepark ini,” katanya.
Pengubahsuaian Kiara Skatepark yang dibina pada 2006, antara lain merangkumi pembaikan ramp sedia ada, pembinaan ramp baharu dengan reka bentuk terkini dan dijangka siap sepenuhnya bulan depan untuk kegunaan pengemar sukan lasak seperti papan selaju dan BMX. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram