Varian Delta ancam nyawa orang muda


  • Massa
  • Ahad, 19 Sep 2021

SEPASUKAN perubatan mengambil sampel seorang kanak-kanak di China yang disyaki dijangkiti varian Delta. — AP

PAKAR Perunding Anestesiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Dr. Ina Ismiarti Shariffuddin berkata, terdapat peningkatan kadar kemasukan ke hospital bagi golongan lebih muda, selain majoriti yang berada di ICU PPUM kini adalah mereka di bawah umur 50 tahun.

“Kami mempunyai dalam 190 pesakit Covid-19 dan lebih separuh dari mereka adalah golongan muda. Memang wujud peningkatan dalam 40 ke 50 peratus.

“Berdasarkan data yang diperoleh PPUM, pada bulan Julai lalu, terdapat perubahan peningkatan pesakit bagi kelompok berumur 20 hingga 50 tahun di ICU berbanding awal bulan Mei,” katanya.

Tambahnya, apabila jumlah pesakit yang terkena jangkitan Covid-19 meningkat, kadar kematian juga akan naik yang mana ia juga akan memberi kesan secara tidak langsung kepada golongan muda.

INA Ismiarti menunjukkan bagaimana Covid-19 yang masuk melalui saluran pernafasan manusia sama ada hidung atau mulut kemudian turun merebak ke seluruh organ tubuh badan. — Sinar Harian

“Kadar kematian terdahulu akibat Covid-19 adalah lima ke 10 peratus secara am, namun kini ia meningkat kepada 20 peratus.

“Kadar kematian Covid-19 meningkat kerana varian Delta lebih ganas dan penduduk Malaysia yang tidak divaksinasi adalah mereka yang berisiko tinggi mendapat Covid-19.

“Oleh sebab itu, kita lihat sekarang makin ramai orang muda yang mati akibat Covid-19. Secara keseluruhannya, ia meningkat kerana masih ramai golongan muda belum divaksin dan mereka golongan yang terdedah kepada jangkitan apabila keluar bekerja.

​Ina Ismiarti yang juga Presiden Persatuan Anestesiologi Malaysia berkata, golongan muda kini yang berisiko tinggi adalah mereka yang selalunya mempunyai penyakit komorbid atau penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, obesiti dan darah tinggi.

Penangan Delta

Seterusnya, varian Delta juga memainkan peranan yang penting dalam penyebaran Covid-19 kepada golongan muda kerana ia lebih ganas berbanding varian sebelumnya dan boleh menjangkiti orang dalam masa 15 saat.

“Kebelakangan ini, pesakit yang masuk hospital PPUM akibat Covid-19 adalah 100 peratus disebabkan oleh varian Delta. Varian Delta juga dikenali sebagai ‘killer’ kerana penyebarannya yang pantas dalam masa 15 saat dan boleh menjangkiti sehingga empat orang dalam satu masa.

“Ia berlaku terutamanya jika seseorang itu berada di tempat pengudaraan yang lemah. Malangnya, negara kita antara yang teruk dilanda varian Delta kerana baru memulakan langkah mempercepatkan vaksinasi kepada golongan 18 tahun ke atas ketika itu. Oleh itu, mereka adalah antara 1,000 populasi dan 20 peratus golongan yang mati akibat penyakit tersebut,” katanya.

Ina Ismiarti juga berpandangan bahawa kanak-kanak atau golongan muda yang perlu pergi ke sekolah atau universiti perlu mendapat vaksin terlebih dahulu untuk mengurangkan risiko jangkitan terutamanya dalam keadaan varian Delta yang mudah merebak.

“Pada pandangan saya, kanak-kanak perlu ada dua dos vaksin oleh kerana risiko sangat tinggi. Kajian menunjukkan walaupun dengan satu dos, kita akan mendapat 70 ke 80 peratus perlindungan. Itu sudah mencukupi namun situasi berubah dengan wujudnya varian Delta.

“Walaupun kita sudah mengambil dua dos vaksin sebagai imuniti, namun kita masih lagi berisiko untuk dijangkiti. Perkara utama yang mereka harus lakukan ketika ini adalah menjaga prosedur operasi standard,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

delta, covid-19, muda, Ina Ismiarti,