Vaksin Covid-19: Belum ada keperluan suntikan dos ketiga - Pakar


  • Massa
  • Rabu, 01 Sep 2021

VAKSINASI besar-besaran seharusnya diberi keutamaan sebelum sebarang pertimbangan untuk suntikan booster. — Reuters

MASIH belum ada keperluan untuk memberi suntikan penggalak vaksin Covid-19 kerana dos pertama adalah lebih utama ketika ini, kata Prof Dr. Teresa Lambe.

Pembangun bersama vaksin Oxford-Astrazeneca itu berkata, hal ini disebabkan ramai penduduk dunia yang masih belum mendapat vaksin Covid-19.

"Sebenarnya, ini salah satu bidang yang saya sedang usahakan di makmal dan apa yang kami lakukan ialah memberi dos ketiga vaksin Oxford-AstraZeneca kepada sekumpulan kecil sahaja, dalam ratusan sahaja jumlahnya.

"Apa yang ingin kami lihat ialah sama ada respons imun meningkat dan kami melihat hasil demikian dengan suntikan ketiga, " katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kebanyakan negara yang sedang berkira-kira untuk memberikan suntikan dos ketiga bagi menghalang mutasi virus pada masa hadapan termasuk untuk mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin.

Tambahnya lagi, apa yang lebih diutamakan ialah agar suntingan dos pertama diberi kepada semua individu di seluruh dunia sebelum menimbangkan dos booster.

"Menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan dunia dilindungi sebelum kita mula menghantar dos booster," katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Ketiga Farmasi dan Sains Kesihatan (3rd International Conference of Pharmacy and Health Sciences) 2021 yang diadakan secara maya.

Turut berpandangan sama, Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) perlu memberi keutamaan untuk memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada seramai mungkin sebelum menimbangkan suntikan dos penggalak.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) itu berkata, pemberian suntikan penggalak adalah untuk meningkatkan keberkesanan bagi seseorang yang sudah mempunyai perlindungan vaksin tidak seharusnya diutamakan, selain mengenepikan mereka yang belum langsung mendapat suntikan vaksin.

"Tak perlu terburu-buru untuk memberi suntikan penggalak untuk mengekang penularan varian Delta yang dikategorikan sebagai VOC (Variant of Concern).

"Vaksinasi besar-besaran seharusnya diberi keutamaan sebelum sebarang pertimbangan untuk suntikan booster dan tidak ada yang akan selamat sehingga semuanya selamat,” katanya.

Sehingga 28 Ogos 2021, kira-kira 61. 1 peratus daripada penduduk negara ini atau 14,297,962 orang individu telah lengkap suntikan dos vaksin COVID-19, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV).

Jelas Dr Zainal, sesetengah negara memberi suntikan dos ketiga untuk rakyat mereka kerana mempunyai bekalan yang mencukupi dan sudah mencapai imuniti kelompok.

Bagaimanapun di Malaysia, katanya, masih ramai yang belum divaksinasi.

bhperkasa14-o_BHfield_image_socialmedia.var_1613289921

Dr Zainal berkata, sesetengah negara memberi suntikan dos ketiga untuk rakyat mereka kerana mempunyai bekalan yang mencukupi dan sudah mencapai imuniti kelompok. — Berita Harian

"Sesetengah negeri, seperti di Kedah, tidak sampai 40 peratus penduduknya mendapat suntikan lengkap vaksin Covid-19. Ada juga negeri yang menghadapi kekurangan bekalan vaksin.

"Kita perlu fokus agar semua mendapat sekurang-kurangnya dua suntikan bagi mengelakkan penularan VOC. Memang kita ada varian baharu dan mungkin ada varian lain akan muncul tidak lama lagi.

"Untuk mencapai imuniti kelompok, kita mesti memberi vaksinasi kepada seramai yang mungkin. Bila sudah cukup data dan vaksin, baharulah kita timbangkan suntikan dos ketiga, " katanya.

Pada masa ini terdapat lima jenis vaksin yang diluluskan penggunaannya di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac, AstraZeneca, CanSino Biologic, dan vaksin Janssen Johnson & Johnson. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

dos ketiga, vaksin Covid-19, pakar