Lengkap vaksin, boleh ke UK


  • Massa
  • Ahad, 19 Sep 2021

PELAWAT mesti mengemukakan bukti mereka lengkap divaksin menerusi dokumen, sama ada digital mahupun kertas.

RAKYAT Malaysia lengkap divaksin antara pengembara dari 17 negara dibenarkan memasuki UK tanpa perlu melalui syarat yang ditetapkan sebelum ini.

Perkara itu dinyatakan dalam laman sesawang rasmi kerajaan UK, yang antara lain memuatkan kelonggaran terhadap individu lengkap divaksin, termasuk perubahan kepada peraturan perjalanan antarabangsa negara berkenaan.

Bermula 4 Oktober ini, peraturan perjalanan antarabangsa ke England akan mengalami perubahan daripada sistem warna merah, jingga, dan hijau yang terpakai sebelum ini, kepada satu senarai tunggal diklasifikasikan berwarna merah.

“Ia akan mengekalkan satu sahaja senarai merah membabitkan negara berisiko tinggi, sementara lain-lain negara akan dipindahkan ke satu kategori tunggal.

“Pendekatan ketibaan pengunjung daripada lain-lain negara itu juga akan diringkaskan.

“Bagaimanapun, peraturan perjalanan dari negara dan kawasan yang tidak termasuk dalam senarai merah akan bergantung kepada status vaksinasi pelawat,” kata panduan itu.

Laman sesawang itu juga berkata bermula jam 4 pagi, 4 Oktober ini, pelawat daripada senarai diperluas membabitkan 17 negara berkenaan yang lengkap divaksin sekurang-kurangnya selepas 14 hari sebelum ketibaan, tidak perlu mengambil ujian PCR prapelepasan atau mengambil ujian Covid-19 pada hari kelapan di negara itu”.

“Mereka juga tidak perlu dikuarantin di rumah atau mana-mana lokasi yang mereka menetap selama 10 hari selepas ketibaan,” katanya.

Malaysia antara negara yang berada dalam senarai 17 negara dibenarkan. Negara lain adalah Australia, Singapura, Brunei, New Zealand, Korea Selatan dan Taiwan.

Panduan itu turut menjelaskan, mereka yang mendapat suntikan lengkap vaksin Oxford/AstraZeneca, Pfizer, Moderna atau Janssen daripada pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing adalah diterima. Mana-mana campuran vaksin yang disebut itu juga diiktiraf.

“Pelawat bagaimanapun perlu menempah dan membayar untuk ujian Covid-19 hari kedua yang akan diambil selepas ketibaan selain melengkapkan borang penjejakan,” katanya.

Laman sesawang itu juga menyatakan pelawat mesti mengemukakan bukti mereka lengkap divaksin menerusi dokumen, sama ada digital mahupun kertas, daripada pihak berkuasa kesihatan kebangsaan atau badan peringkat negeri.

Pelawat yang gagal mengemukakan bukti bahawa mereka sudah lengkap divaksin wajib mengikuti peraturan individu tidak divaksin atau berdepan tindakan tidak dibenarkan masuk jika gagal berbuat demikian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

vaksin, UK, Malaysia