Sijil digital vaksin sudah mula dijual


  • Tular
  • Sabtu, 18 Sep 2021

TAWARAN melalui satu kumpulan Telegram itu melibatkan pembelian termasuk sijil yang mempunyai kod QR. — Facebook
ISU sijil vaksin palsu semakin menjadi-jadi sejak kerajaan menguatkuasakan peraturan untuk menunjukkan sijil vaksinasi sebagai bukti.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba memalsukan sijil vaksin Covid-19 digital.

Kementerian itu percaya terdapat permintaan terhadap sijil vaksin palsu dalam kalangan antivaksin serta mereka yang belum mendapatkan vaksin atas sebab-sebab tertentu

Terbaru, satu hantaran di Telegram yang didakwa menawarkan pembelian tiga jenis sijil vaksin palsu tular dalam media sosial sejak pagi Sabtu.

Tawaran melalui satu kumpulan Telegram itu melibatkan pembelian termasuk sijil yang mempunyai kod QR yang boleh diimbas melalui aplikasi MySejahtera dengan harga berbeza.

Difahamkan, orang ramai yang berminat boleh memilih mendapatkan sijil vaksin berharga RM1,500 melalui aplikasi MySejahtera yang menggunakan akaun sendiri dan lengkap dengan kod QR boleh diimbas.

Selain itu, caj RM400 pula dikenakan untuk sijil vaksin “klon” menggunakan identiti dan maklumat individu lain dan RM200 pula untuk kad vaksin palsu.

Kumpulan di Telegram yang mempunyai 280 ahli aktif itu juga dikesan pernah menjual Ivermectin, sejenis ubat anti parasit yang dikatakan boleh merawat Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

sijil vaksin, palsu, covid-19, telegram