MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyambut baik gesaan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu supaya kerajaan membenarkan pembukaan semula gimnasium dan sukan padang.
Khairy berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Rabu dan akan diumumkan kelak.
"Permintaan Ahmad Faizal untuk ‘outdoor team sports’ adalah wajar.
"Menteri KBS memang prihatin terhadap sektor sukan. Tadi dibincang & diputuskan di sidang MKN Covid-19. Berita yang baik akan diumumkan," ciap Khairy pada Rabu.
Tambah Khairy, pihaknya juga akan berbincang dengan MKN mengenai panduan pengudaraan yang perlu dipatuhi oleh pihak gim dalam masa terdekat.
"Bagi gim, KKM akan membincangkan mengenai beberapa panduan pengudaraan yang perlu dipatuhi bersama MKN. Ini tidak akan memakan masa yang lama tetapi kerana sifat pusat kecergasan indoor, kita mesti menekankan keperluan pengudaraan tertentu. Saya akan usahakannya dengan segera," tambah beliau.
Terdahulu, Ahmad Faizal meminta pihak MKN dan KKM supaya mempertimbangkan pembukaan gim dan sukan padang berikutan keputusan untuk membenarkan panggung wayang beroperasi bermula 9 September ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram