Suami isteri tanam pokok ganja ditahan


  • 112
  • Khamis, 16 Sep 2021

DADAH dan pokok ganja yang dirampas daripada pasangan suami isteri di Ayer Itam pada Selasa. — Sinar Harian

PADAH buat pasangan suami isteri ditahan selepas didapati menanam pokok ganja dalam satu serbuan di sebuah kondominium dekat Ayer Itam, di George Town, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan yang dilakukan pada jam 1.30 petang pagi Selasa itu adalah hasil risikan dan maklumat yang diperoleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Timur Laut.

Beliau berkata, serbuan itu berjaya menahan suspek lelaki berusia 38 tahun di bahagian bawah kediamannya.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan terhadap lelaki yang bekerja sebagai pengurus sebuah stesen minyak itu menemui tiga paket lut sinar berisi dadah jenis ganja dan syabu.

"Hasil soal siasat yang dilakukan terhadap suspek membawa polis ke kediaman yang disewanya di kondominium berkenaan sebelum menemui 13 paket ganja dan peralatan menghisap dadah di ruang tamu.

“Pemeriksaan lanjut dalam rumah berkenaan menemukan dua batang pokok ganja belum matang yang ditanam dalam pasu plastik dan diletakkan di bahagian balkoni kondominium," katanya dalam sidang akhbar pada Rabu.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, kedua-dua pokok ganja itu masing-masing berukuran 19 dan 40 sentimeter dan dianggarkan bernilai RM1,180.

Beliau berkata, dalam serbuan itu juga polis turut menahan isteri suspek berusia 36 tahun yang merupakan kerani di stesen minyak tempat suaminya bekerja.

Katanya, polis turut merampas baja yang dipercayai untuk kegunaan penanaman pokok ganja itu, kenderaan jenis Proton Exora serta wang tunai.

"Hasil soal siasat dijalankan lelaki berkenaan mengaku sekadar mencuba menanam pokok itu selepas mendapati ada biji benihnya di dalam paket ganja kering yang dibelinya sebelum ini.

“Selain itu, dadah yang dirampas dalam milikan serta di kediaman itu dikatakan untuk kegunaannya sendiri, namun kita akan menjalankan siasatan sama ada suspek terlibat dalam pengedaran atau sebalik memandangkan jumlah dadah yang dirampas agak banyak," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan nilai dadah dan aset yang dirampas berjumlah RM35,591.

Tambahnya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah dan pasangan berkenaan kini direman sehingga 19 September untuk siasatan lanjut. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ganja, kondominium, baja