Kuarantin 10 hari jika sah positif di Langkawi — MB Kedah


  • Primer
  • Khamis, 16 Sep 2021

STAF KKM akan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 terhadap semua pelancong datang ke Langkawi. — The Star

TINDAKAN kuarantin selama 10 hari di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan dikenakan kepada pelancong yang dikesan positif sebaik tiba di pulau Langkawi, Kedah.

Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor yang memberitahu, mereka yang disahkan positif Covid-19 akan dibawa terus ke CAC.

Jelas beliau lagi, jika perlu golongan terbabit boleh dirawat di Hospital Sultanah Maliha atau memilih kuarantin di hotel atau di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

"Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menjalankan ujian pengesanan Covid-19 terhadap semua pelancong datang ke pulau ini.

"Bagaimanapun kita tidak menolak kemungkinan akan ada pelancong yang 'terlepas'," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyambut ketibaan pelancong di Langkawi pada Khamis.

Tambah beliau lagi, kerajaan negeri juga bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan termasuk membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) di Lapangsasar Antarabangsa Langkawi Malaysia (LISRAM).

Jelasnya, anggota pasukan keselamatan dan kakitangan KKM juga mencukupi bagi memantau kemasukan pelancong sebaik mereka tiba di lapangan terbang atau terminal feri.

“Penduduk Langkawi tidak perlu risau, kita ada cukup anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bertugas termasuk kakitangan KKM di pintu masuk," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mengulas mengenai kejadian beberapa lokasi tumpuan di negeri lain yang kotor akibat kehadiran pengunjung yang ramai.

Menurutnya, dia berharap perkara itu tidak berlaku di Langkawi.

"Situasi di Langkawi agak berbeza kerana pelancong yang masuk melalui pesawat atau feri.

"Mereka hanya membawa beg pakaian dan mengambil peluang membeli-belah di sini," jelasnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram