KERAJAAN kini di peringkat akhir untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) hanya kepada 10 SOP berbanding 181 yang ada ketika ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, proses mengurangkan SOP itu dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu.
"Langkah memperkemas SOP-SOP yang telah digunapakai selama lebih setahun ini tentunya akan mengambil sedikit masa," katanya pada sidang media pada Selasa.
Turut serta dalam sidang media itu ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.
Mengulas lanjut, Hishammuddin bagaimanapun menjelaskan, SOP baharu termasuk beberapa kelonggaran lain yang sedang diputuskan akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelak.
"Apa yang paling penting adalah risiko aktiviti yang kita akan longgarkan dan ia bukan mudah.
"Kalau boleh kita mahu buat (kelonggaran) secara menyeluruh, tetapi itu tidak bertanggungjawab," ujarnya.
Mengambil contoh kelonggaran di Langkawi, Hishammuddin berkata, gelembung pelancongan itu dilaksanakan bagi menangani isu kesihatan mental rakyat Malaysia yang telah menjalani tempoh berkurung dan sekatan yang lama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram