RUU anti gangguan seksual dibentang tahun ini


  • Primer
  • Ahad, 12 Sep 2021

KPWKM sedang menunggu ‘white bill’ atau kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara

DRAF Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) sudah pun mula digubal secara kolektif menerusi pasukan projek khas dan dijangka dibentangkan di Parlimen, tahun ini.

Pasukan khas itu terdiri daripada wakil kementerian dan agensi berkaitan, badan bukan kerajaan serta ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan dalam perkara berkaitan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, draf ini mula disemak secara bersama oleh kementeriannya dan Jabatan Peguam Negara mulai Januari 2021.

Rina menambah, semakan ini bagi memastikan RUU ini benar-benar mampu menangani kelompangan perundangan sedia ada dan isu-isu pelaksanaan yang akan timbul.

"Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turut mengadakan pelbagai sesi libat urus termasuklah dengan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, PROLINTAS, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan RUU AGS ini,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

"Saya ingin tegaskan bahawa penggubalan RUU Anti-Gangguan Seksual ini tetap menjadi keutamaan kementerian dengan kerjasama erat Jabatan Peguam Negara.

"Pada masa ini, KPWKM sedang menunggu ‘white bill’ atau kelulusan daripada Jabatan Peguam Negara, sebelum RUU ini dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri dan kemudiannya dibentang untuk bacaan kali pertama di Parlimen, dijangkakan pada tahun ini juga”, katanya.

Dalam masa sama, Rina menambah yang kementeriannya sedar wujudnya kekangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada seperti beban pembuktian yang tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu ‘under-reporting’ kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Rina berkata walaupun RUU tersebut masih di dalam peringkat semakan, kes-kes gangguan seksual sedang ditangani melalui pelbagai akta dan peraturan lain.

"Antara akta dan peraturan tersebut dan adalah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Kerja 1995 [Akta 265], Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam.

"Oleh itu, KPWKM menggesa mangsa untuk terus tampil membuat laporan segera kerana akta dan peraturan sedia ada boleh dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan dan keselamatan mangsa,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram