'Abdul Azeez belum lagi bebas'


BEKAS Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim belum lagi bebas daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya - The Star

BEKAS Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim belum lagi bebas daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram dihadapinya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi satu kenyataan berkata, kenyataan peguam bela, Amer Hamzah Arshad mengenai laporan analisis kewangan SPRM lebih kepada hujah semata-mata.

"Susulan daripada itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez telah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan," kata SPRM.

Amer Hamzah semalam berhujah laporan analisis kewangan SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya namun anak guamnya masih lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram itu membabitkan projek jalan raya di Kedah dan Perak serta pengubahan wang haram.

Abdul Azeez dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” katanya.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 12 Mac lalu sudah menolak permohonan untuk membatalkan kesemua tuduhan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

azeez rahim, sprm, mahkamah, rasuah, bebas