Kaji beri gaji, bonus berdasarkan prestasi dan ranking dunia - BAM


  • Podium
  • Khamis, 09 Sep 2021

BAM sedang melihat kemungkinan mengkaji semula gaji dan bonus kepada pemain dan jurulatih mengikut suku tahunan, berdasarkan kepada prestasi dan kedudukan ranking dunia.

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedang melihat kemungkinan untuk mengkaji semula gaji dan bonus kepada pemain dan jurulatih mengikut suku tahunan, berdasarkan kepada prestasi dan kedudukan ranking dunia.

Perkara itu diumumkan Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu majlis penyampaian wang sumbangan kepada pemenang pingat di Temasya Olimpik dan Paralimpik yang diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Khamis.

"Sebagai contoh, saya melihat kepada peningkatan 100 peratus pada gaji pemain dan bonus mereka, jika mereka berada dalam kedudukan 10 pemain terbaik. Contohnya jika mereka menerima RM15,000 sekarang, dan jika mereka menduduki ranking kedua dunia, mereka akan menerima RM30,000 sebulan.

"Tetapi kita juga perlu mengekalkan ‘status quo’ untuk sebahagiannya. Kerana kita hanya mahu memastikan semua pemain kita berusaha sepenuhnya untuk menduduki 10 terbaik, secara amnya ia juga meliputi kemudahan mereka, tiket penerbangan kelas perniagaan dan perkara-perkara seperti itu.

"Di pusat kecemerlangan ini, kami mengamalkan budaya baharu, iaitu kami akan memberikan ganjaran atas prestasi dan menjaga mereka, termasuk kebajikan. Pemain muda menunjukkan tekad dan mendapat inspirasi daripada kejayaan Aaron-Wooi Yik untuk melakukan dengan lebih baik lagi,” katanya.

Mohamad Norza juga mendedahkan dalam mesyuarat bersama pemain dan jurulatih itu bahawa beliau berjanji akan memberikan insentif RM1 juta untuk setiap seorang, sama ada perseorangan ataupun acara beregu, jika mereka berjaya memenangi pingat emas Olimpik.

Terdahulu, wira badminton negara yang mendapat pingat di temasya Olimpik dan juga Paralimpik pada Khamis mendapat durian runtuh sumbangan daripada BAM dan 100plus.

Pasangan beregu badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini membawa pulang RM180,000.

Pasangan yang buat pertama kalinya beraksi di Sukan Olimpik itu, menerima insentif RM120,000 daripada BAM dan RM60,000 lagi daripada 100Plus

Barisan kejurulatihan beregu lelaki yang diketuai Flandy Limpele, juga menerima RM30,000 daripada BAM atas kejayaan tersebut.

Mohamad Norza juga mengumumkan pemenang pingat emas badminton Paralimpik yang pertama Cheah Liek Hou, yang kini dalam kuarantin selepas pulang daripada Tokyo pada Isnin, juga akan menerima insentif RM200,000, manakala jurulatihnya Datuk Rashid Sidek akan menerima RM50,000.

Aaron-Wooi Yik menang gangsa selepas menewaskan pasangan pilihan kedua dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17 dan 21-1 4, dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Musashino Forest Sports Plaza, pada 31 Julai.

Sementara Liek Hou pula menjadi pemenang pingat emas Paralimpik pertama bagi acara badminton, selepas acara itu buat pertama kalinya dipertandingkan di Paralimpik Tokyo, dengan menewaskan pemain nombor satu dunia Dheva Anrimushti dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 di Yoyogi National Stadium pada 4 Sept.

"BAM mengiktiraf kerja keras, komitmen dan pengorbanan pasukan, pemain-pemain ini meninggalkan semua untuk ke gelanggang, dan berjuang demi kebangaan dan kejayaan Jalur Gemilang. Aaron-Wooi Yik kini merupakan pemenang pingat Olimpik keenam dalam badminton.

"Sebelum ini, pemain akan berada dipuncak pada usia 26-27 tahun, namun kini kita mempunyai pemenang pingat Olimppik pada usia muda iaitu 24. Jadi kita akan mengekalkan pasukan ‘senior’ yang lebih muda dan pada masa yang sama telah ada satu pasukan elit daripada ‘junior’ yang akan bertanding dengan ‘senior’ dan pemain bebas dalam satu kejohanan yang sama,” kata Mohd Norza. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram