KEMENTERIAN Pengangkutan akan menyalurkan bantuan one-off berjumlah RM500 kepada baki 27,627 pemandu e-hailing yang masih belum menerima bayaran mulai Jumaat ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), seramai 56,092 pemandu e-hailing telah memenuhi syarat kelayakan dan layak untuk menerima bantuan itu
"Kementerian Pengangkutan sedia maklum dan amat prihatin berhubung isu pembayaran bantuan secara sekali beri atau ‘one-off’ Pemerkasa+ yang dibangkitkan oleh komuniti pemandu e-hailing yang layak namun masih belum menerima pembayaran bantuan tersebut.
"Pihak APAD telah selesai membuat pembayaran kepada 28,465 pemandu e-hailing yang layak bermula dari 26 Julai 2021 hingga 6 Ogos 2021. Walaubagaimanapun, masih terdapat 27,627 pemandu yang masih belum menerima bayaran bantuan tersebut," katanya yang turut memohon maaf atas kelewatan penyaluran bantuan berkenaan.
Ka Siong berkata, peruntukan bagi tujuan pembayaran kepada baki pemandu layak yang masih belum menerima bantuan tersebut telah disalurkan kepada APAD pada 3 September 2021.
Tambahnya, pihak APAD sedang memproses pembayaran melalui bank yang telah dilantik Kerajaan iaitu Hong Leong Bank dan pembayaran akan dibuat secara auto-kredit ke dalam akaun bank pemandu terbabit mulai 10 September 2021.
"Sememangnya pihak Kementerian Pengangkutan sentiasa komited dalam memastikan kebajikan para pemandu e-hailing sentiasa terbela, dan berharap pembayaran bantuan RM500 ini dapat membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh pemandu e-hailing dalam mendepani ujian pandemik Covid-19 ini," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
