PROGRAM vaksinasi remaja akan diperluas apabila liputan vaksinasi lengkap populasi dewasa di setiap negeri mencapai 80 peratus dan ke atas, kata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Kenyataan itu dikeluarkan menerusi ciapan di Twitter rasminya pada Rabu susulan Sarawak memutuskan untuk memberi vaksin kepada remaja berusia 16 dan 17 tahun serta remaja berumur 12 hingga 15 tahun yang berkomorbid.
Remaja di negeri berkenaan menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer secara berperingkat bermula Rabu.
Sementara itu, vaksinasi bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun yang sihat di negara tersebut dijadualkan bermula pada penghujung September bergantung kepada stok bekalan yang akan diterima.
Sarawak mensasarkan remaja berusia 16 dan 17 tahun akan lengkap menerima vaksinasi sebelum sesi persekolah bermula 3 Oktober kelak.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, program vaksinasi Covid-19 yang dijalankan di negeri itu sejak Februari lepas berjaya meningkatkan sistem ketahanan badan dan mengurangkan kesan serius akibat penyakit berkenaan.
"Menurut pakar kesihatan, keadaannya sama dengan kolera, SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk) dan Swine flu yang apabila (virus Covid) dapat dilawan, akan membawa ke peringkat disebut endemik, di mana kita hidup dengan virus tetapi kita ada sistem pertahanan dalam tubuh untuk melindungi kita.
"Kalaulah tidak ada vaksinasi mungkin keadaannya berlainan. Apabila seseorang itu sudah divaksinasi, dia akan mempunyai sistem daya tahan diri untuk melawan virus COVID-19," ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini Sarawak telah mencapai 88.9 peratus liputan dos lengkap vaksin Covid-19 bagi golongan dewasa yang layak atau 65.1 daripada keseluruhan populasi Sarawak dan peratusan ini akan terus bertambah memandangkan program vaksinasi masih berjalan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram