5,811 hilang kerja sebulan di Malaysia


  • Primer
  • Selasa, 07 Sep 2021

SEBANYAK 40,680 kes kehilangan pekerjaan direkodkan Perkeso setakat Ogos. — Bernama

SETAKAT bulan lalu, Malaysia mencatatkan purata 5,811 kes kehilangan pekerjaan sebulan.

Jumlah itu diambil kira berdasarkan keseluruhan 40,680 kes kehilangan pekerjaan yang direkodkan setakat Ogos.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pejabat Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang memantau trend kes hilang kerja harian bagi memberikan perlindungan kepada para pekerja yang tidak lagi dapat bekerja disebabkan pelbagai alasan.

"Sebagaimana yang kita ketahui, pandemik Covid-19 bukan hanya memberi kesan kepada aspek kesihatan orang ramai, tetapi turut membawa kejutan ekonomi kepada negara-negara di seluruh dunia.

"Ia susulan langkah yang diambil bagi menghalang penularan virus yang membawa kepada penutupan syaikat, manakala orang ramai hilang pekerjaan atau pekerja terpaksa bekerja dengan perolehan gaji yang dikurangkan,” kataya semasa berucap di majlis perasmian Forum Pekerjaan Awam Antarabangsa (IPEF 2021).

Menurut Perkeso, definasi hilang pekerjaan termasuk pemberhentian kerja, Skim Pemisahan Kerja Sukarela atau Persefahaman Bersama (VSS/MSS), penutupan syarikat disebabkan bencana alam, bankrap, pemberhentian kerja disebabkan oleh gangguan seksual atau ancaman di tempat kerja serta berhenti selepas diarah melakukan tugas yang berbahaya yang tidak termasuk dalam skop kerja.

Dalam perkembangan sama, Saravanan berkata, sejak Mac tahun lepas kerajaan mengambil pelbagai langkah bagi meringankan beban orang ramai dan memastikan sektor perniagaan terus beroperasi bagi mengelak pemberhentian kerja besar-besaran, termasuk dengan pelaksanaan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Perkeso merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia yang ditugaskan untuk melaksanakan program Pemulih seperti Program Subsidi Gaji 4.0, PenjanaKerjaya 3.0, KerjayaGig dan SIP Prihatin 2.0, yang disasar kepada majikan, pekerja, pencari kerja serta kerja sendiri.

Sementara itu portal kerja MyFutureJobs sehingga kini merekodkan sejumlah 1.29 juta kekosongan daripada 21 sektor dan sejumlah 564,830 pencari kerja aktif telah mendaftar dengan portal ini dengan 196,471 kejayaan pemadanan kerja direkodkan.

Saravanan berkata, forum anjuran Perkeso pada Selasa perlu digunakan bagi mengukuhkan dan mewujudkan pasaran tenaga kerja yang kukuh dalam negara kerana ia salah satu komponen penting dalam ekonomi negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram