Aksi drif, libas kayu golf depan PPV


  • Tular
  • Rabu, 08 Sep 2021

TULAR sebuah video di media sosial menunjukkan dua orang lelaki bergaduh dengan seorang daripadanya dilihat mengeluarkan kayu golf sebelum melibas ke arah orang ramai.

DUA individu yang terlibat dalam video pergaduhan di sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kedah telah ditahan polis.

Terdahulu yang tular sebuah video di media sosial menunjukkan dua orang lelaki bergaduh dengan seorang daripadanya dilihat mengeluarkan kayu golf sebelum melibas ke arah orang ramai.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat dalam satu kenyataan berkata kedua-dua individu yang berusia 19 dan 27 tahun itu telah menimbulkan pergaduhan dengan orang awam yang menunggu untuk mengambil vaksin di perkarangan PPV Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (UniSHAMS).

Kedua-dua individu terbabit juga dipercayai adik beradik tiri.

Menurut Kamarulzaman, dalam kejadian 11.45 pagi, suspek datang ke PPV dan menimbulkan kekacauan dengan memandu secara melulu serta mempamerkan aksi drift.

"Pergaduhan disyaki berlaku apabila suspek ditegur namun tidak berpuas hati sebelum menimbulkan provokasi.

"Pergaduhan turut berlaku antara suspek dan orang awam di mana salah seorang suspek telah mengeluarkan besi pemukul golf dan membuat ugutan jenayah kepada seorang lelaki yang terlibat untuk meleraikan pergaduhan," katanya.

Menurutnya, pergaduhan dileraikan anggota polis yang bertugas di PPV bersama orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Beliau berkata, seorang suspek telah ditahan di tempat letak kereta PPV dengan sebatang besi pemukul golf dirampas.

"Seorang lagi suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Ladang Kupang, Baling pada jam 2.40 petang bersama sebuah kereta jenis Proton Saga turut dirampas," katanya.

Kamarulzaman berkata, siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam pergaduhan di PPV dan memandu secara merbahaya.

"Salah seorang suspek telah mengaku mengambil besi pemukul golf dari kereta untuk dijadikan senjata untuk menakutkan dan melibaskan ke arah orang ramai, dia juga mengaku dalam keadaan mabuk semasa kejadian,"katanya.

Beliau menjelaskan, motif kejadian masih dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah, Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar, Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

bergaduh, tular, ppv, kayu golf