Gangguan seksual: Tak perlu tunggu RUU


  • Primer
  • Rabu, 08 Sep 2021

RINA menggesa mangsa gangguan seksual supaya terus membuat laporan polis.— The Star

MENTERI Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun menggesa mangsa gangguan seksual digesa supaya segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa.

Kata beliau, tindakan itu harus disegerakan tanpa perlu menunggu peruntukan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan jenayah gangguan seksual dikuatkuasakan.

Jelas Rina, RUU tersebut bukan membabitkan pindaan, sebaliknya adalah RUU baharu yang mengambil masa untuk digubal.

"RUU ini turut melibatkan banyak kementerian serta drafnya kini sedang di peringkat penelitian Pejabat Peguam Negara.

"Sekiranya ada berlaku gangguan seksual, segera lapor kepada pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999. Tak perlu tunggu RUU dibentangkan. Negara kita ada undang-undang,” katanya.

Rina berkata demikian ketika mengulas desakan pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mempercepatkan pembentangan RUU berkenaan.

Hal ini berikutan peningkatan kes gangguan seksual membabitkan golongan wanita dan kanak-kanak.

Difahamkan, pembentangan RUU itu dijadualkan pada tahun lepas. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rina Harun, Gangguan Seksual, RUU