'Kami percaya penulisnya ialah anak perempuan Ahmad Zahid'


AHMAD Zahid menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta Kuala Lumpur pada Rabu. — RAJA FAISAL HISHAN/The Star

ORANG ramai diminta tidak membuat sebarang komen di media sosial berkaitan perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berlangsung.

Amaran itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah setelah Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak perempuan Ahmad Zahid, Datuk Nurulhidayah telah membuat hantaran mengenai kes bapanya di Instagram.

"Mahkamah perlu memberi amaran tentang komen seperti itu yang boleh membawa kepada sub-judice. Komen seperti itu tidak boleh dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung,” kata Sequerah.

Terdahulu, menurut Raja Rozela, pihak pendakwaan percaya Nurulhidayah membuat hantaran berhubung isu imuniti semalam di Instagramnya iaitu nurul.zahid.

"Kami percaya penulisnya ialah anak perempuan Ahmad Zahid. Komen ini tidak berasas dan prejudis. Tidak adil bagi pihak pendakwaan kerana kes ini masih berjalan.

"Saya tidak diarahkan supaya memulakan prosiding menghina tetapi memadai memaklumkan orang ramai supaya supaya tidak membuat sebarang komen berhubung prosiding ini," ujarnya dan menambah bahawa mahkamah perlu melarang Nurulhidayah dan orang ramai daripada membuat sebarang komen tentang kes itu.

Peguam, Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid kemudiannya bangun dan memberitahu mahkamah bahawa beliau akan meminta Nurulhidayah supaya menarik balik komen tersebut.

"Pertamanya, kami memohon maaf kepada mahkamah. Kami akan meminta penulis supaya memadam hantaran itu jika mahkamah mahu ia dikeluarkan," kata peguam itu.

Semakan Bernama di Instagram Nurulhidayah mendapati beliau telah memadamkan hantaran berkenaan dan memuat naik catatan baharu yang meminta maaf kepada mahkamah mengenai perkara tersebut.

"Saya tidak sepatutnya berkongsi atau komen apa yang berlaku semasa prosiding. Ini tidak akan berlaku lagi," jelas Nurulhidayah.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan melibatkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan kesnya kini di peringkat penghujahan pihak pembelaan di akhir kes pendakwaan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram