'Semoga BKC mampu meringankan beban rakyat'


  • Primer
  • Isnin, 06 Sep 2021

Ismail Sabri memberitahu, pengkreditan BKC bagi Fasa Satu bermula hari ini. — Bernama

DANA berjumlah RM3.1 bilion disalurkan kepada institusi perbankan yang berkaitan untuk pembayaran Bantuan Khas Covid-19 (BKC), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berharap pengkreditan BKC bagi Fasa Satu bermula Isnin sedikit sebanyak mampu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

"BKC ini akan memanfaatkan seramai 10 juta penerima yang memfokuskan kumpulan sasar terdiri daripada kategori miskin tegar, B40 dan M40 serta golongan bujang yang berkelayakan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada Ahad.

Pada Rabu, Ismail Sabri berkata, beliau mengambil maklum isu kelewatan bayaran BKC yang sepatutnya dilaksanakan bulan lepas dan berikutan itu telah mengarahkan Kementerian Kewangan menyegerakan pembayaran.

Beliau juga berkata, kerajaan kini melaksanakan rangsangan ekonomi rakyat dan negara melalui inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

"Besar harapan saya untuk memastikan usaha ini berjaya demi kesejahteraan Keluarga Malaysia," katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata, pembayaran Fasa 1 bagi BKC akan dibuat secara berperingkat mulai Isnin (bagi penerima B40) dan Khamis bagi penerima M40.

Beliau dilaporkan berkata, peruntukan itu melibatkan dana berjumlah RM3.1 bilion serta memanfaatkan 4.4 juta isi rumah, 1.1 juta warga emas yang bujang atau tiada pasangan dan 4.5 juta individu bujang dan dijadualkan pada September, November dan Disember 2021.

Semakan status BKC boleh dibuat melalui portal https://bkc.hasil.gov.my. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram