EKSKLUSIF

Isu pembalakan haram: JPNP dan Pahang tidak 'pejam mata', sentiasa pantau guna dron


  • Primer
  • Selasa, 07 Sep 2021

SEBANYAK 49 kes kesalahan hutan termasuk 10 kes pembalakan haram telah direkodkan di Pahang tahun ini. — Gambar fail/Bernama

PEMBALAKAN haram hutan di Pahang merupakan isu berpanjangan yang masih berlaku sejak sekian lama meskipun terdapat beberapa aktiviti yang berjaya ditumpaskan oleh Jabatan Perhutanan dan kerajaan Negeri.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sehingga 31 Julai 2021, sebanyak 49 kes kesalahan hutan termasuk 10 kes pembalakan haram telah direkodkan di negeri itu.

"Daripada 10 kes berkenaan, dua daripadanya telah selesai dengan mengenakan tindakan kompaun dan ganti rugi buat kerugian hasil hutan yang telah dicerobohi pesalah. Selebihnya pula masih dalam tindakan oleh Pegawai Penyiasat JPNP.

"Sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 105 kes yang melibatkan pelbagai kesalahan hutan telah direkodkan dan 17 daripadanya diklasifikasikan sebagai kes pembalakan haram. Daripada jumlah tersebut, sebanyak tujuh kes pembalakan haram telah berjaya diselesaikan manakala 10 kes lagi masih dalam tindakan siasatan lanjut," katanya kepada Majoriti.

Mohd Hizamri berkata, kes pembalakan haram hutan masih berlarutan berikutan masih ada pihak yang tidak memahami kepentingan alam sekitar sama ada pihak perseorangan ataupun syarikat yang mahu mengambil jalan mudah untuk meneroka hutan bagi tujuan pertanian ataupun mencuri balak demi keuntungan segera.

Menurutnya, JPNP juga sentiasa memastikan kawasan hutan di Pahang terutama Hutan Simpanan Kekal (HSK) terus terpelihara di samping terus menjana ekonomi negeri.

Sepanjang tahun lalu, jelasnya, kawasan berhutan di Negeri Pahang dianggarkan berjumlah 2.02 juta hektar iaitu 56.8 peratus daripada keluasan negeri.

Daripada jumlah tersebut, katanya, seluas 1.59 juta hektar merupakan HSK yang diuruskan secara Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management).

Jelas Mohd Hizamri lagi, antara usaha berterusan JPNP untuk mengesan dan membentras aktiviti pembalakan haram adalah dengan melaksanakan aktiviti pemantauan berterusan di kawasan-kawasan lesen pengusahasilan dan juga kawasan panas (hot spot) yang disyaki sering berlakunya aktiviti pembalakan haram.

Pemantauan melalui udara juga, ujarnya, turut dilakukan menggunakan helikopter selain menggunakan dron.

"JPNP juga menjalankan pemantauan menggunakan imej satelit terkini yang diperolehi dari Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) selain menjalin kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan negeri yang lain seperti Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UNIFIED), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang dan lain-lain agensi berkaitan," ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya juga bekerjasama dengan Pejabat Daerah dan Tanah dalam mengenalpasti kawasan berhutan yang sesuai untuk diwartakan sebagai HSK sebagai usaha untuk meningkatkan lagi jumlah keluasan HSK sedia ada di negeri ini.

Selain itu, ujarnya, usaha berterusan sentiasa dilakukan bagi memulihara kawasan hutan terosot dan ceroboh dengan menanam spesies pokok hutan.

hutanpahang

WAN Rosdy (kiri) dan Mohd Hizamri. — Foto Bernama

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut menafikan dakwaan pihak Kerajaan Negeri Pahang memandang mudah gejala penerokaan haram ke atas tanah dan kawasan hutan di negeri itu sehingga mengundang persepsi negatif oleh segelintir pihak.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan maklumat orang ramai dan melaksanakan tindakan sewajarnya bagi laporan yang berkaitan dengan berkaitan penerokaan hutan secara haram di Pahang.

"Kejayaan Kerajaan Negeri menangani dan mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands sebelum ini merupakan bukti pihak kerajaan sentiasa memandang serius dengan isu berkenaan.

"Ia juga akan menjadi panduan kepada segenap usaha Kerajaan Negeri seterusnya dalam menangani masalah penerokaan tanah haram di negeri ini selepas ini," tegasnya.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram