Data vaksinasi Jokowi tersebar, rakyat Indonesia panik isu keselamatan siber


  • Benua
  • Ahad, 05 Sep 2021

JOKOWI ketika mengambil suntikan vaksin Covid-19 di Istana Merdeka, Jakarta. — Reuters

TAHAP keselamatan data perubatan peribadi menjadi kebimbangan rakyat Indonesia selepas sijil vaksin Covid-19 Presiden Joko Widodo (Jokowi) bocor, dan aplikasi ujian juga dilihat terjejas.

Menurut kerajaan, sijil vaksinasi Jokowi yang dibocorkan dalam talian menunjukkan nombor pengenalan dan tarikh vaksinasi.

Kebocoran itu berlaku hanya beberapa hari selepas penyelidik penyedia pengekodan vpnMentor mendedahkan maklumat 1.3 juta pengguna aplikasi ujian dan jejak kerajaan bocor.

Data itu ditemui pengguna di aplikasi pemantauan vaksin rasmi PeduliLindungi dan sudah diakses oleh beberapa pengguna.

Menteri Kesihatan, Budi Gunadi Sadikin berkata, pihak berkuasa telah menyekat akses ke data rasmi awam berikutan pelanggaran itu dan sedang menambah baik data keselamatan pengguna PeduliLindungi.

Indonesia dikatakan mempunyai rekod keselamatan siber yang lemah, dengan literasi dalam talian yang rendah serta sering berlaku kebocoran data.

"Pelanggaran data kerap berlaku di Indonesia kerana penembusan digital yang sangat tinggi di Indonesia tetapi malangnya ia tidak diikuti dengan kesedaran digital yang betul daripada mereka yang menguruskan data," kata penganalisis keselamatan siber, Alfons Tanujaya.

Pada Mei lalu, data lebih 200 juta peserta Badan Penjagaan Kesihatan Nasional dan Keselamatan Sosial (BPJS Kesihatan) didakwa dibocorkan oleh penggodam.

Bagaimanapun pegawai Kementerian Komunikasi dan Penerangan menafikan perkara itu, sebaliknya mengatakan data Jokowi diakses melalui laman web Suruhanjaya Pilihan Raya Umum.

Sementara itu, seorang penduduk, Ageng Wibowo, 39, berkata, kejadian itu menyebabkan dia bimbang dengan keselamatan data peribadi dan menggesa penggubalan satu undang-undang keselamatan siber lebih ketat.

"Jika data seorang presiden boleh bocor, bagaimana dengan saya yang hanya seorang rakyat biasa," soalnya. — AFP

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram