60 peratus kes baharu Covid-19 angkara belum vaksin atau tak lengkap dua dos


  • Primer
  • Ahad, 05 Sep 2021

Dr Noor Hisham turut mengesahkan sebanyak 336 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 274 warganegara dan 62 bukan warganegara. — Bernama

SEBANYAK 66.3 peratus atau 13,519 kes daripada jumlah keseluruhan 20,396 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini didapati tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksin Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, individu tidak lengkap vaksin terdiri daripada mereka yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin atau dua dos vaksin tetapi tidak melebihi 14 hari dari tarikh dos kedua.

"Sebanyak 6,877 kes atau 33.7 peratus pula mempunyai sejarah vaksinasi lengkap, dengan 6,795 daripadanya berada pada kategori satu iaitu tidak bergejala dan kategori dua bergejala ringan.

Situasi ini jelas menunjukkan mereka yang lengkap divaksinasi adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Daripada 322 kes kategori tiga (bergejala) hingga kategori lima (bergejala kritikal), 240 kes atau 74.5 peratus terdiri daripada mereka yang tiada sejarah vaksinasi atau tidak lengkap vaksinasi berbanding hanya 82 kes (25.5 peratus) terdiri daripada mereka yang lengkap divaksin.

Menurut Dr Noor Hisham, 336 kes kematian dilaporkan hari ini yang melibatkan 274 warganegara dan 62 bukan warganegara.

Kes kematian di luar hospital atau mati ketika dibawa (BID) yang direkodkan pada Ahad ialah 107 kes, menjadikan ia jumlah kes BID tertinggi sejak wabak itu melanda negara.

Beliau berkata, 20,573 kes sembuh dicatatkan sementara kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini 255,789 dengan 1,338 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah kes yang dirawat di ICU, 959 kes merupakan kes positif Covid-19 manakala 379 lagi ialah kes yang disyaki dan dalam siasatan.

Dalam pada itu, kes yang memerlukan bantuan pernafasan pada hari ini pula sebanyak 735 kes terdiri daripada 436 kes Covid-19 dan 299 kes merupakan kes disyaki dan dalam siasatan.

Sebanyak 37 kluster baharu dilaporkan hari ini dengan 21 daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, 12 kluster komuniti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan satu di pusat tahanan, menjadikan kluster aktif kini 1,457. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

covid-19, Noor Hisham, bergejala, vaksinasi, BID,