'Apasal lu pukul budak kecik ni'


  • Tular
  • Sabtu, 04 Sep 2021

KISAH menyayat hati kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ini menarik perhatian netizen. — Facebook

KISAH menyayat hati seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dikatakan dipukul ayahnya yang juga seorang penagih dadah menarik perhatian netizen yang bersimpati akan nasib malangnya.

Menceritakan kembali kisah perjumpaannya dengan kanak-kanak terbabit, seorang pengguna Facebook Neesa Azhari berkata kejadian berlaku pada malam Khamis apabila dia terdengar suara orang bergaduh di bawah rumahnya.

Katanya dia melihat seorang pemuda India sedang belasah seorang lelaki sambil berkata "Apasal (kenapa) lu (kau) pukul budak kecik (kecil) ni?".

Kemudian Neesa berkata dia terdengar lelaki yang dipukul itu menjawab, "Ini anak aku, aku punya sukalah."

Menurut Neesa, dia pada ketika itu terlihat seorang kanak-kanak perempuan yang dibaringkan di hadapan stor simpanan barangan kering kepunyaan Warung Makan Sahabat, iaitu sebuah pusat untuk sahabat jalanan, asnaf juga warga emas sekitar Chow Kit dan Kuala Lumpur, mendapatkan makanan percuma setiap hari.

"Aku turun ke bawah terus menyambar tangan kanak-kanak itu lalu aku dukung dia.

"Aku nampak Ryzal berdiri di jendela rumahnya lalu aku mintak Ryzal carikan sedikit makanan.

'Yang ada hanya kuey teow petang tadi, itulah yang dia makan dengan penuh berselera," ceritanya merujuk kepada suaminya, Ryzal.



Kanak-kanak tersebut ditemui berhampiran Chow Kit.

Menurut Neesa, lelaki yang dipukul terbabit, yang juga bapa kepada kanak-kanak malang tersebut cuba untuk menjual anaknya itu dengan harga RM6,000 kepadanya.

"Laki (lelaki) itu luka di tepi kening kena pukul oleh pemuda India tadi, dia mundar mandi dekat situ tak tahu apa yang dicari, berpusing-pusing dari hujung lorong ke hujung lorong.

"Dalam hatiku rasa nak bawa lari kanak-kanak itu ke atas rumah.

""Bagi akulah budak ini", tulis Neesa.

Katanya lelaki itu kemudiannya menjawab, "Kau bagi aku RM6,000 kau ambillah, aku dah letih nak jaga dia, aku ni hisap dadah".

Dalam satu lagi hantarannya, Neesa berkata kanak-kanak malang tersebut merupakan etnik Rohingya, dan dia tinggal bersama ayah serta neneknya.

Jelasnya Neesa, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah menghubunginya dan usaha kini sedang dilakukan untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram