Peniaga bungkus kalau Fasa 1 PPN lanjut lagi


  • Massa
  • Jumaat, 03 Sep 2021

PENGUSAHA kecil dan mikro berkemungkinan tidak dapat bertahan jika PPN dipanjangkan hingga Oktober. — The Star

KERAJAAN perlu mempertimbangkan untuk peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Satu di Lembah Klang ke fasa dua pada akhir bulan ini, kata pakar ekonomi.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman bin Abdul Latiff memberitahu, jika PPN Fasa Satu berlarutan sehingga hujung Oktober, sektor perniagaan terutama pengusaha kecil dan mikro berkemungkinan tidak dapat bertahan untuk sebulan lagi.

Jelasnya, lanjutan Fasa Satu di Lembah Klang akan menjejaskan golongan ini memandangkan bukan semua sektor yang boleh beroperasi.

"Pembukaan semua sektor dapat memastikan rantaian perniagaan daripada pembekal hingga peniaga tidak terjejas. Ini berlaku di negeri fasa satu PPN.

"Sebolehnya peralihan ke Fasa Dua dilakukan paling lewat sehingga hujung bulan ini bagi memastikan golongan usahawan dapat kembali bangkit selepas lama tidak dibenarkan beroperasi," katanya kepada Majoriti.

Dr Razman photo

Dr. Ahmed Razman mengulas tentang lanjutan PPN Fasa Satu di Lembah Klang.

Tambah beliau, Lembah Klang merupakan pusat kepada sektor ekonomi dengan banyak industri, perniagaan dan golongan usahawan yang bertapak di Kuala Lumpur dan Selangor.

Lembah Klang juga merupakan penyumbang tertinggi untuk Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara selain Johor dan Pulau Pinang.

Ahmed Razman peningkatan kadar jangkitan bukan satu isu jika semua sektor dibenarkan beroperasi.

Jelasnya, indikator yang perlu dilihat dalam hal ini adalah kadar imunisasi kebangsaan dan kadar pesakit positif yang perlu mendapatkan rawatan dI unit rawatan rapi.

"Kita sedia maklum yang kadar imunisasi telah mencapai lebih 90 peratus di Lembah Klang dan meskipun kes masih tinggi tapi kadar positif di dalam kategori kritikal sangat rendah.

"Kepercayaan perlu diberikan kepada peniaga untuk menjaga prosedur operasi standard (SOP) jika dibenarkan beroperasi semula," ujarnya.

Beliau juga menambah, jika fasa satu masih dilanjutkan untuk tempoh lebih lama, kerajaan perlu mempertimbangkan untuk membenarkan sektor B2B (perniagaan ke perniagaan) untuk beroperasi.

Katanya, sektor ini hanya melibatkan urusan secara perniagaan dan perniagaan.

Ia hanya melibatkan dua pihak dan mempunyai risiko rendah dalam menyebarkan jangkitan Covid-19.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

PPN, Fasa 1, Lembah Klang, Ahmed Razman