Penghantar barang menangis dijatuhi hukuman mati


MUHAMMAD Hafizul didakwa edar dadah di sebuah rumah di Bandar Tasik Selatan, Cheras pada tiga tahun lalu. — Agensi

SEORANG penghantar barang tidak dapat menahan kesedihan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya setelah didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram pada tiga tahun lalu.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Hafizul Rashid Emmy, 29, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

"Setelah meneliti keterangan saksi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan mengenai pemilikan dadah berbahaya dan pembelaan juga gagal menyangkal ke atas keimbangan kebarangkalian anggapan mengedar di bawah Seksyen 37(da)(vi) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan dihadapinya. Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati," kata hakim itu dalam penghakiman ringkasnya.

Muhammad Hafizul didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 299.09 gram di sebuah rumah di Bandar Tasik Selatan, Cheras pada 8 Mac 2018.

Dia didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjara seumur hidup dan juga dikenakan hukuman sebat tidak kurang daripada 15 sebatan.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan termasuk tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Suzana Norlihan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

mahkamah, dadah, gantung, kanabis, kes pembelaan