EKSKLUSIF

Kit ujian Covid-19: 'Hentilah kaut untung atas rakyat'


  • Massa
  • Jumaat, 03 Sep 2021

ANTARA kit ujian kendiri Covid-19 yang berada di pasaran ketika ini. — Bernama

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa agar tiada pihak mengaut keuntungan di atas kesusahan yang dialami oleh rakyat ketika ini, khususnya dalam soal penjualan kit ujian kendiri Covid-19.

Menurut Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan, ada pihak berkemungkinan mengenakan caj tidak masuk akal meskipun harga siling runcit telah ditetapkan oleh kerajaan.

"Pemantauan yang ketat perlu dibuat oleh kerajaan supaya penjual tidak meletakkan harga barangan secara sesuka hati.

"Kadang kala penjual tidak meletakkan caj pada harga barangan tetapi mengenakan caj pada kos penghantaran. Mereka guna pelbagai kaedah untuk mengaut keuntungan," ujarnya kepada Majoriti.

Pada Khamis, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar mengumumkan penetapan harga siling bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 pada harga RM19.90 untuk jualan runcit dan RM16 bagi harga borong bermula Ahad ini.

Khairy berkata, pihaknya juga mempertimbangkan kit percuma untuk keluarga B40.

Tambah Nadzim, beliau menyarankan kerajaan agar mengambil kit ujian kendiri Covid-19 dari kilang atau mengimport daripada agensi yang tidak 'membuat duit'.

"Contohnya, apabila barangan itu masuk ke negara ini, sesebuah agensi boleh mengenakan caj untuk perkhidmatan dalam lima hingga 10 peratus sahaja. Jangan ambil untung berlebihan.

"Kilang yang mengeluarkan barangan itu juga perlu jelas atau telus tentang harga kos kerana pengguna selalu ditipu dalam soal ini," jelas beliau.

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Nadzim Johan, PPIM, kit kendiri, Covid-19