
MENGURUSKAN keluarga dan kerjaya secara serentak ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan perkara yang mudah bagi golongan ibu bapa.
Pelbagai cabaran perlu dihadapi sepanjang tempoh sukar itu, apatah lagi berdepan tekanan dari tempat kerja dan anak-anak.
Bagi Faiq Farhan Lokman, dia terpaksa mengupah tutor bagi memastikan kebajikan anaknya terjaga dan mendapat pendedahan terbaik.
Kata bapa kepada dua orang anak ini, aktiviti anak-anaknya agar terbatas sepanjang PKP dan situasi itu amat mencabar bagi dia dan isteri menguruskan anak kecil berusia tiga dan lima tahun.
"Saya juga menggunakan alternatif secara visual dan aktiviti di rumah untuk beri pendedahan tentang perkara di luar, tapi itu tidak mencukupi.
"Sukar untuk bahagikan masa sebab saya juga bekerja dari rumah. Jadi saya mengupah tutor bagi memastikan anak dapat pendedahan yang terbaik," katanya kepada Majoriti.
Siti Rahmah Maimunah Ibrahim yang merupakan penjawat awam, juga mengakui cabaran untuk mengawal perasaan anaknya yang berusia tiga tahun agar tidak terkesan dengan PKP.
Walaupun pada usia tiga tahun, anak kecilnya itu mungkin tidak mengerti situasi yang berlaku tetapi masa yang dibahagikan kepada anaknya itu perlu setimpal dengan tugasnya sebagai penjawat awam.
"Memang tidak dinafikan agak mencabar tapi sebagai seorang ibu, saya mahu beri yang terbaik untuk anak saya yang baru berusia tiga tahun.
"Selain anak akan mengikuti pembelajaran dalam talian, saya akan sediakan beberapa aktiviti untuk elakkan anak bosan memandangkan dia anak tunggal.
"Jadi untuk elakkan dia moody saya banyakkan aktiviti bersama dia di rumah seperti mewarna, melukis, stamping dan sebagainya." katanya.
Tetapi bagi peniaga online, Noor Ainulyakin Mohd Ishak, dia berasa lega kerana anak-anaknya dapat menjaga diri masing-masing sepanjang waktu PKP.
"Alhamdulillah, sepanjang PKP keadaan lima orang anak di rumah masih dapat dikawal.
"Untuk anak yang lebih kecil saya tidak begitu bimbang sebab ada kakak dan abang yang rajin melayan adik-adiknya.
"Paling penting sebagai ibu ayah, kita perlu kreatif untuk melayan anak-anak dan beri perhatian yang secukupnya. Anak gembira, ibu bapa pun akan kurang stres.”
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram