Wanita diugut dengan 'tangan' berdarah, terima mesej berbaur lucah


  • 112
  • Khamis, 02 Sep 2021

KOTAK berisi replika tangan dan cecair berwarna merah yang diterima mangsa. — Sinar Harian

SEORANG wanita menempuh detik menakutkan apabila menerima kotak berisi replika tangan dengan kesan darah dalam kejadian di Jalan Kampung Saing, Klang Selangor pada Isnin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Suprintendan Mohd Khairi Shafie berkata, bimbang dengan ugutan berkenaan, mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 7.30 petang.

"Siasatan awal dijalankan mendapati mangsa menerima bungkusan hitam yang turut disertakan nota berunsur ugutan seperti menyimbah asid terhadap mangsa dan rakan serta mahu membakar rumah ibu bapa mangsa.

"Selain itu terdapat juga objek berbentuk tangan di dalam kotak tersebut dengan cecair berwarna merah," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya menerima mesej menerusi WhatsApp selepas kejadian tersebut.

"Mangsa juga menerima mesej berbaur lucah dan ugutan daripada satu nombor yang tidak dikenali," katanya.

Mohd Khairi berkata, polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kes tersebut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan mangsa telah dipanggil untuk dirakam keterangan selain usaha mengesan pengirim bungkusan dan pemilik nombor telefon yang terlibat sedang giat dijalankan," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ugut, mesej, lucah, polis,