SEORANG pencuri kereta bukan sahaja bertindak melanggar rakan subahat yang juga teman wanitanya, tetapi turut meninggalkannya di lokasi kejadian bagi melarikan diri daripada pihak polis.
Dalam insiden yang berlaku di Cheras pada 26 Ogos lalu itu, pihak polis menghampiri sebuah kenderaan yang diparkir selepas didapati mencurigakan.
Apabila pihak polis berada berdekatan kereta tersebut, mereka mendapati seorang wanita sedang mengeluarkan barang di bonet kereta.
"Melihat kehadiran polis, suspek lelaki mengundurkan keretanya ke arah wanita itu dan melanggarnya.
"Ketika diarahkan untuk berhenti, suspek kemudiannya melarikan diri," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff.
Katanya, satu tembakan dilepaskan ke arah kereta tetapi suspek berjaya melarikan diri.
Wanita berusia 20 tahun itu pula mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital.
Dia kemudian ditahan bagi membantu siasatan.
Menurut Saiful Annuar, pihak polis akhirnya berjaya memberkas lelaki tersebut pada Isnin.
"Pada 30 Ogos, sekitar pukul 7.50 malam, pihak polis menangkap seorang lelaki berusia 32 tahun di Cyberjaya.
“Dia kemudian membawa polis ke beberapa lokasi, di mana 11 kereta yang sebelumnya dilaporkan dicuri ditemui.
"Kereta tersebut dilaporkan dicuri di Kuala Lumpur dan Selangor antara 2019 dan 2021. Nilainya dianggarkan sekitar RM130,000," katanya.
Siasatan mendapati bahawa kereta itu dicuri dan komponennya dicabut untuk dijadikan sebagai alat ganti sebelum dijual melalui media sosial. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram