SPRM siasat isu rasuah doktor demi sijil vaksinasi


  • 112
  • Selasa, 31 Ogos 2021

AZAM mengesahkan pihak SPRM belum menerima sebarang aduan berkaitan rasuah doktor untuk dapatkan sijil vaksinasi.— GLENN GUAN/The Star

SURUHANJAYA Pencegaran Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini tidak menerima sebarang aduan berkaitan isu kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata SPRM akan menyiasat dan melakukan risikan ke lokasi-lokasi yang disyaki melakukan perbuatan penyelewengan tersebut.

"Saya memandang serius terhadap dakwaan orang ramai berkaitan kegiatan merasuah doktor atau mana-mana pihak bagi mendapatkan sijil vaksinasi tanpa menerima suntikan vaksin.

"Perbuatan ini bukan saja melibatkan isu rasuah, tetapi ia menjejaskan reputasi profession pengamal perubatan sekali gus mencalarkan imej mereka sekiranya perkara itu benar-benar berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku itu boleh menghubungi SPRM di talian hotline 1-800-88-6000 atau portal aduan rasuah di portaladuan.sprm.gov.my.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow mendedahkan beberapa ahli FPMPAM mendakwa ditawarkan RM1,000 oleh beberapa individu untuk memalsukan sijil digital vaksin.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak semua individu yang membuat tawaran itu adalah antivaksin berikutan terdapat segelintir yang perlu sijil berkenaan untuk melakukan perjalanan dalam tempoh segera.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram