BELANJAWAN 2022 akan dirangka berdasarkan tiga keperluan utama dengan bertujuan membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan pasca-pandemik sebelum dibentangkan pada 29 Oktober ini.
Tujuan itu akan dicapai menerusi tiga keperluan utama yang turut mengambil kira jangkaan situasi ekonomi yang akan pulih daripada kesan pandemik Covid-19 pada tahun hadapan.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata tumpuan akan diberikan untuk melindungi serta memulihkan kehidupan dan mata pencarian rakyat termasuk perniagaan.
Malah MoF berkata belanjawan itu juga akan memastikan bahawa tiada pihak yang akan tercicir dalam menerima bantuan dan sokongan kerajaan sama ada rakyat atau perniagaan serta pihak yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Keperluan pertama, kata MoF, kerajaan akan meneruskan program bantuan dan sokongan untuk memastikan pemulihan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap kesihatan awam dan struktur ekonomi, selaras dengan pembukaan sektor ekonomi secara berperingkat melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Berikutnya belanjawan ini akan menumpukan kepada bantuan untuk menyokong rakyat dan perniagaan supaya dapat kekal berdaya tahan dalam menghadapi krisis. Ini bagi terus melindungi mata pencarian, kehidupan rakyat dan perniagaan.
"Dalam keperluan ketiga, fokus akan diberikan untuk memangkin pembaharuan pasca-pandemik supaya negara mampu bangkit dengan lebih perkasa dan berdaya saing serta berteraskan pembangunan negara yang lebih terangkum dan mampan," katanya.
Tambah MoF dalam kenyataan itu, Belanjawan 2022 akan disejajarkan bersama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bakal dibentangkan di Parlimen pada September ini.
Jelas MoF lagi, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai sesi libat urus dan konsultasi bagi mendapatkan input dan cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan bajet yang dirangka adalah komprehensif dan memenuhi aspirasi segenap pihak.
"Belanjawan ini selaras dengan iltizam Keluarga Malaysia dan juga merupakan pemangkin ke arah pelaksanaan RMK12 yang akan memacu pertumbuhan, keterangkuman dan kelestarian ekonomi dalam jangka sederhana, berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030," ujar kementerian itu.
Menurut MOF lagi, kerajaan juga berharap dengan penerbitan kenyataan Pra-Bajet ini akan membantu menetapkan tahap jangkaan rakyat terhadap Belanjawan 2022.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram