Pemandu van sekolah terpaksa fikirkan alternatif akibat Covid-19


  • Massa
  • Ahad, 29 Ogos 2021

ZEE Cheau merupakan antara 200 penerima Program Sumbangan Bakul Merdeka. — Sinar Harian

GARA-GARA sesi persekolahan yang masih ditutup akibat pandemik Covid-19, dua pemandu van sekolah terpaksa mencari alternatif lain bagi menampung kehidupan mereka ketika ini.

Menurut Siti Fatimah Mat Yusof, 50, dia sudah bekerja sebagai pemandu van sekolah selama 12 tahun dan kini membuka perniagaan menjual pisang goreng dan nasi ayam berempah bersama suaminya di hadapan rumah mereka di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Ujar Siti Fatimah, mereka mampu meraih sekitar RM200 hari dan wang berkenaan digunakan untuk melunaskan sewa van bulanan sebanyak RM1,700 serta bil utiliti rumah.

Dia dan suaminya terpaksa berniaga bermula dari pukul 11 pagi hingga enam petang setiap hari bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

"Suami pernah menjadi pemandu lori dan kontena hampir 28 tahun tetapi sejak tahun lalu dia bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

"Ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sekolah, kami kehilangan sumber pendapatan," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu van sekolah, Tan Zee Cheau, 44, perlu 'mengorek' tabung simpanannya selepas hilang sumber pendapatan utama.

"Saya bergantung kepada wang simpanan sahaja dan sedikit bantuan daripada kerajaan kerana tiada pendapatan berikutan penutupan sekolah," kata Zee Cheau.

Dia bekerja sebagai pemandu van sekolah sejak sedekad lalu.

Kedua-dua mereka merupakan penerima Program Sumbangan Bakul Merdeka yang diberikan oleh ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Ir Izham Hashim.

Sumbangan berkenaan adalah keperluan asas dalam bentuk makanan bernilai RM50 setiap satu serta daging lembu dan kambing sejuk beku. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram