
KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) memaklumkan sebanyak RM1.1 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi yang musnah dalam kejadian banjir lumpur di Yan pada 18 Ogos lepas.
Mafi dalam satu kenyataan berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut, Isnin lalu.
“Peruntukan berjumlah RM495,000 (daripada RM1.1 juta) akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.
“Sementara RM555,000 untuk kegunaan membaik pulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, putaran tanah sawah, meratakan tanah dan pemulihan kesuburan tanah,” katanya.
Menerusi kenyataan tersebut, sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar.
Sementara itu Mafi berkata, pelbagai agensi dan jabatan berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha memulih dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan.
Sementara itu, Mafi memaklumkan laporan keseluruhan kerosakan khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000 ekoran bencana itu.
Nilai itu meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000.— Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram