PERTEMUAN antara Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan beberapa pemimpin utama parti pembangkang menunjukkan bibit-bibit kematangan politik negara, kata pakar ekonomi.
Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata perkembangan ini sekali gus mampu memberi keyakinan kepada syarikat-syarikat luar membuat pelaburan di negara ini.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, keyakinan para pelabur juga bergantung kepada langkah-langkah dan rancangan yang akan dilakukan oleh Perdana Menteri selepas ini.
"Pertemuan itu tentunya memberi satu prospek baharu tentang kestabilan politik di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri sekiranya agenda yang dipersetujui bersama dapat dilaksanakan.
"Namun ia bergantung kepada apa yang dilakukan sebab apa yang kita nampak perlantikan Kabinet pun masih menjadi isu lagi. Setakat ini kita pun kita belum lagi mendengar sebarang program atau rancangan yang akan dizahirkan," katanya.
Beliau berkata, situasi hari ini membuatkan ramai pihak tertumpu kepada Perdana Menteri sama ada dapat membentuk barisan Kabinet yang kukuh dan diyakini selain diterima bukan sahaja parti komponen dalam kerajaan tapi juga parti pembangkang.
"Banyak spekulasi mengatakan Perdana Menteri mempunyai masalah untuk umumkan barisan Kabinet kerana tidak dapat kesepakatan dalam parti komponen tidak setuju.
"Ini merupakan satu risiko yang besar yang sedang dihadap dan sedikit sebanyak memberi kesan keyakinan para pelabur," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, ekonomi negara masih berada dalam keadaan yang membimbangkan biarpun menunjukkan pertumbuhan pada suku tahun kedua.
"Adakah ini telah menunjukkan bahawa ekonomi kita telah turun semula malah dan keadaan pada Julai adalah lebih teruk berbanding Jun dan tiada sebarang perubahan setakat bulan ini (Ogos).
"Apapun kita akan tahu perkembangan ekonomi selepas Oktober ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram