Nelayan Vietnam agresif, rempuh kapal APMM


  • 112
  • Khamis, 26 Ogos 2021

SEKUMPULAN nelayan Vietnam ditahan APMM selepas memasuki perairan negara dan menggunakan nombor pendaftaran palsu. — Harian Metro

SERAMAI 16 kru dalam bot nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dikesan menceroboh perairan negara.

Selepas menerima maklumat daripada nelayan tempatan, APMM turut mendapati bot berkenaan turut menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Pengarah APMM Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata bot berkenaan ditahan pada jam 7.14 pagi di kedudukkan 250 batu nautika dari timur laut Tanjung Po.

"Hasil maklumat, Kapal Maritim (KM) Bijak yang sedang melakukan pemantauan dan rondaan Op Kuda Laut/ Op Permai berjaya mengesan bot itu.

"Malah berdasarkan struktur fizikalnya jelas ia bot Vietnam yang 'menyamar' menggunakan nombor pendaftaran tempatan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Sebaik mengesan kehadiran KM Bijak, bot itu cuba melarikan diri dan tekong mengemudi bot secara agresif termasuk melanggar sisi kanan kapal KM Bijak.

"Hampir 30 minit mengejar, bot berjaya dipintas dan 16 kru berusia 19 hingga 53 tahun ditahan selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan sah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rentetan itu, kesemua tahanan dan bot itu dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas untuk siasatan lanjut.

Tambah Zin Azman berkata hasil rampasan pelbagai alatan menangkap ikan, 10,000 liter diesel dan bot berkenaan dianggarkan bernilai RM1 juta.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menjalankan aktiviti perikanan di perairan Malaysia tanpa kebenaran yang sah.

Selain itu, kesemua kru akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri. — Harian Metro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

nelayan, vietnam, apmm