SELAIN Malaysia, Jerman juga salah sebuah negara yang tidak terlepas berdepan dengan isu berkenaan pemotongan bantuan atau subsidi oleh kerajaan.
Terbaharu, kira-kira 30,000 rakyat berkumpul sebagai penunjuk perasaan di tengah-tengah pusat bandar Berlin bersama ribuan traktor membantah berhubung peningkatan kos sara hidup serta rancangan menghapuskan subsidi bahan api dalam sektor pertanian secara berperingkat.
Protes tersebut juga dilaporkan melibatkan para petani yang disokong oleh pelbagai wakil daripada industri lain dengan menyekat beberapa jalan berhampiran kawasan Parlimen.
BACA LAGI: Demonstrasi #Turun bantah kenaikan harga, tuntut potong gaji menteri
Presiden Persatuan Petani Jerman, Joachim Rukwied pada masa sama dilaporkan menggesa kerajaan untuk membatalkan rancangan tersebut dan mendakwa bahawa petani akan berstatus muflis jika ia diteruskan.
"Kerajaan mempunyai kuasa untuk mengubah keputusan ini. Ia terlalu keterlaluan, tarik kembali cadangan itu," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Kewangan Jerman, Christian Lindner pula menyuarakan sokongannya terhadap seluruh penunjuk perasaan tersebut.
"Bantahan anda adalah sah dan aman. Ia sesuatu yang telah disuarakan selema beberapa dekad lalu.
"Kita perlu berbincang tentang fungsi negara dalam fasa baharu," katanya di hadapan khalayak ramai ketika itu.
Bukan itu sahaja, bantahan itu turut sempat dirakam dan dimuat naik di media sosial malah ia dikatakan mengganggu penduduk lain yang sedang tidur kerana dilakukan pada waktu malam.
Sebelum ini, bantahan seakan-akan sama dilaporkan pernah berlaku di beberapa negara lain berhubung isu berkaitan masalah kos sara hidup. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram