[VIDEO] Berang sering disuruh-suruh buat kerja, 'guard' muda nekad tikam senior 31 kali


  • Benua
  • Selasa, 26 Dis 2023

Tangkap layar rakaman menunjukkan suspek bertindak menikam mangsa di leher sebanyak 31 kali.

SEORANG pengawal keselamatan menikam rakan sekerjanya sebanyak 31 kali dalam kejadian di pejabat daerah Mamuju, Sulawesi Barat, Indonesia pada Ahad.

Pada awal kejadian, suspek, Rahmat Maulana, 23, sempat berborak bersama mangsa, Zulkarnain, 40, di pejabat berkenaan.

Dalam video yang tular di media sosial, Zulkarnain pada ketika itu sedang duduk bermain gitar berhampiran sebuah motosikal di pejabatnya ketika bertugas.

Secara tiba-tiba, Rahmat bertindak mengambil pisau yang terdapat pada begnya dan berlari menikam Zulkarnain dari arah belakang secara bertubi-tubi.

Selepas bertindak membunuh rakan sekerjanya, Rahmat cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh pihak polis di kawasan Kecamatan Budong-budong, Kabupaten Mamuju Tengah, Indonesia pada Ahad.

Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polres Mamuju, Ajun Komisaris Jamaluddin, motif pembunuhan itu dilakukan adalah kerana mangsa sering bertindak keterlaluan apabila meminta suspek melakukan sesuatu yang menyebabkan suspek tidak dapat mengawal emosinya.

"Suspek rasa jengkel kerana mangsa yang juga seniornya sering menyuruh-nyuruh buat itu dan ini. Perbuatan itu (mengarah secara berlebihan) membuatkan emosinya memuncak sebelum dia bertindak di luar kawalan," kata polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram