[VIDEO] Pemandu terhidu gas bocor lepas lori tangki bawa bahan kimia terbalik tengah jalan


  • Benua
  • Selasa, 28 Nov 2023

Keadaan lori tangki membawa Etilena Oksida yang terbalik selepas kemalangan di tengah jalan di Maharashtra, India pada Isnin.

SEBUAH lori tangki yang membawa tujuh tan bahan kimia jenis Etilena Oksida terbalik di tengah jalan di Pune-Ahmednagar, Maharashtra, India pada Isnin.

Inspektor Polis Yerawada, Kanchan Jadhav berkata, mangsa bernama Rajaram Verma, 51, mengalami beberapa simptom seperti sakit kepala dan muntah-muntah selepas terhidu gas yang bocor selepas kemalangan itu.

"Mangsa telah dibawa ke Hospital Besar Sassoon dan dibenarkan keluar selepas mendapatkan rawatan.

"Mangsa memberitahu dia dalam perjalanan ke Kharadi Chowk dan kemalangan itu berlaku pada waktu malam.

"Pada masa itu, cuaca juga tidak baik kerana sedang hujan," katanya.

Dalam pada itu, mangsa dikatakan gagal mengelak penghadang koridor Bus Rapid Transit (BRTS) sebelum terbabas ke bahu jalan.

"Pemandu tersebut tidak nampak penhadang simen dan terus melanggarnya," kata Jadhav.

Sementara itu, pegawai polis trafik, Inspektor Rajkumar Shere berkata, impak daripada pelanggaran itu, gandar hadapan lori tangki itu rosak dan pecah.

Bukan itu sahaja, terdapat dua injap di bawah lori yang pecah sekali gus menyebabkan kebocoran bahan kimia tersebut.

Dalam pada itu, bomba juga dikerah untuk mengesan kebocoran tersebut.

Hasil siasatan mendapati, kebocoran tersebut melibatkan Etilena Oksida iaitu gas yang sangat mudah terbakar.

Etilena Oksida digunakan untuk industri kimia sebagai bahan pengasapan dalam beberapa produk pertanian selain sebagai pensterilan untuk alat perubatan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram