[VIDEO] Mancis jadi punca, 10 guru melecur belon gas hidrogen tiba-tiba meletup


  • Benua
  • Ahad, 26 Nov 2023

Tangkap layar tragedi belon gas hidrogen meletup di SDN Cimuning 1, Mustikajaya pada Sabtu.

SAMBUTAN Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Indonesia bertukar tragedi apabila belon gas hidrogen secara tiba-tiba meletup dalam kejadian di Sekolah Dasar Negeri (SDN) Cimuning 1, Kecamatan Mustikajaya, Kota Bekasi, Indonesia pada Sabtu.

Rakaman yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan guru wanita berkumpul mengelilingi seikat belon ketika berlangsung upacara melepaskan objek tersebut ke udara.

Secara tiba-tiba, belon itu meletup dan mengeluarkan api yang marak sehingga terkena ke arah sebilangan guru yang ketika itu sedang memegang tali belon.

Setiausaha Jabatan Pendidikan Kota Bekasi, Warsim Suryana berkata, punca belon itu meletup adalah akibat terkena api daripada mancis yang dibawa oleh salah seorang guru yang mahu memutuskan tali belon menggunakan alat tersebut.

Tanpa diduga, kejadian itu mengakibatkan seramai 10 orang guru mengalami luka melecur.

"Lapan daripada mereka cedera ringan, manakala dua lagi mengalami kecederaan serius di muka dan tapak tangan," katanya sambil memberitahu, tiada murid yang cedera dalam insiden berkenaan.

Menurut Warsim, dua mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Mustikajaya First dan Hospital Satria Medika Pedurenan bagi menerima rawatan lanjut.

Manakala, lapan guru lain dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Puskesmas Cimuning, Mustikajaya.

Mengulas lanjut, keseluruhan kos rawatan ditanggung oleh pengetua sekolah berkenaan meskipun guru-guru tidak menuntut apa-apa dan menganggap ianya hanya kejadian yang tidak terduga. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram