[VIDEO] Pemandu lupa keluarkan pam, cetus letupan besar, kebakaran di stesen minyak


  • Benua
  • Ahad, 01 Okt 2023

Rakaman televisyen litar tertutup menunjukkan kebakaran besar tercetus di sebuah stesen minyak China.

SEORANG pemandu cuai terlupa mengeluarkan pam minyak daripada kenderaannya sebelum berlalu pergi meninggalkan stesen minyak.

Kejadian yang tular di laman X pada Selasa lalu itu dipercayai berlaku pada 1 September di sebuah stesen minyak di Xiangtan, di Wilayah Hunan, China, kira-kira pukul 6:50 petang.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang pemandu kereta Sedan berwarna putih tidak menyedari pam minyak masih belum dikeluarkan daripada tangki isi minyak keretanya dan cuba bergerak meninggalkan lorong pengisian minyak.

Semasa kenderaan mula memecut ke depan, ia menarik kuat muncung dan keseluruhan pam petrol bersama-sama sehingga mengakibatkan stesen pam itu terjatuh ke bawah dan berlaku pertumpahan bahan api.

Dalam beberapa saat, satu kebakaran besar tercetus apabila beberapa kabel elektrik berhampiran pam tercabut hingga mengeluarkan api yang marak.

Orang awam dan pekerja stesen minyak mulai panik dan berlari dengan mengambil alat pemadam api dan menghalakannya ke arah api.

Tindakan yang cepat itu mendorong api berjaya dipadamkan dalam masa 30 saat sebelum mengundang kecederaan kepada mana-mana pihak. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram