
SEORANG lelaki di Thailand menemui ajal dengan agak tragis pada Rabu apabila kemaluannya terputus selepas terkena bilah pemotong rumput yang digunakan ketika bekerja di taman hutan, Wilayah Isaan, Nong Bua Lamphu.
Difahamkan, bilah pemotong rumput berkenaan tercabut daripada mesin dan melibas terkena bahagian zakar serta pangkal pahanya sehingga menyebabkan mangsa kehilangan darah agak banyak.
Pegawai dari Balai Polis Mueang Nong Bua Lamphu bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat Praditsin Chuypad, 39, yang sudah tidak bernyawa.
Sebaik tiba di lokasi, pihak polis mendapati seluar dan kaki Praditsin sudah dilumuri dengan darah manakala terdapat sebuah bilah pemotong jenis besi keluli yang patah berada berdekatan mangsa.
Pasukan penyelamat kemudian menanggalkan seluar Praditsin untuk menilai punca kematiannya.
Kemaluan Praditsin dilaporkan terputus sementara luka agak dalam juga didapati di pangkal paha kirinya.
Kecederaan teruk itu turut mengenai bahagian saluran darahnya dan dan dipercayai menjadi punca kepada kehilangan darah yang banyak sehingga menyebabkan kematian mangsa.
Polis kemudiannya menemui bahagian bilah yang berlumuran darah dan percaya bahawa ia patah selepas mengenai Praditsin.
Penjaga taman hutan tersebut, Waen Visetsakda, 72, memberitahu pegawai polis bahawa Praditsin diupah oleh pemilik taman hutan untuk membersihkan kawasan berkenaan.
Mangsa difahamkan mula bekerja sejak Isnin dan sepatutnya menyiapkan tugasannya itu pada hari kejadian.
Waen mendedahkan bahawa Praditsin memilih untuk menggunakan bilah pemotong jenis keluli yang lebih besar dan bukannya standard untuk mesin tersebut kerana percaya langkah itu akan membolehkannya menyelesaikan kerja dengan cepat.
Bapa saudara Praditsin, Narongsak Laketago, 56, memberitahu ThaiRath bahawa Praditsin cekap dalam penggunaan mesin pemotong rumput jenis itu kerana sudah biasa menggunakannya sejak kecil.
Naronsak berkata, dia ada memberi amaran kepada Praditsin beberapa kali tentang menggunakan bilah pemotong jenis keluli itu tetapi amarannya tidak diendahkan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram