[VIDEO] Pesawat 'berapi' terhempas rempuh trak bomba, 2 hilang nyawa


  • Benua
  • Ahad, 20 Nov 2022

Nahas mengorbankan dua nyawa membabitkan pesawat Airbus A320neo di Lapangan Terbang Jorge Chavez, Peru pada Sabtu. — Agensi

SEBUAH pesawat Airbus A320neo mengalami kemalangan lalu terbakar sewaktu berlepas daripada Lapangan Terbang Jorge Chavez, Peru pada Sabtu.

Dalam kejadian nahas tersebut, dua orang dilaporkan maut selepas sebuah pesawat LATAM Airlines yang sedang berlepas dari Lapangan Kapal Terbang Lima, Peru melanggar sebuah trak bomba di landasan lalu terbakar.

Difahamkan, kapal terbang yang terlibat dalam nahas itu merupakan sebuah pesawat Airbus A320neo dengan kod identifikasi CC-BHB.

Berdasarkan video yang tular di media sosial sejak Sabtu, sebuah trak bomba kelihatan berada di atas landasan tersebut sebelum pesawat A329 mula membuat pecutan.

Namun, enjin pesawat pada bahagian kanan dan sayap pesawat kemudiannya berlanggar dengan trak tersebut serta mengakibatkan kebakaran.

Sejurus selepas insiden itu, penerbangan dari #LA2213 ke Juliaca terpaksa dihentikan dan semua penumpang diselamatkan dengan segera.

Dalam pada itu, LATAM Peru mengesahkan bahawa penerbangan LA2213 untuk laluan Lima – Juliaca, yang dioperasikan oleh LATAM Airlines Peru mengalami kemalangan semasa berada di atas landasan.

Mangsa yang terkorban adalah dua orang bomba yang berada di dalam trak tersebut.

Dalam masa yang sama, tiada penumpang atau kru yang terkorban dalam nahas ini.

Namun, tidak dapat dipastikan bagaimana trak bomba tersebut boleh memasuki kawasan landasan kapal terbang terbabit. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram