Askar Ukraine catat rekod tembakan kedua paling jauh di dunia


  • Benua
  • Jumaat, 18 Nov 2022

Askar tersebut melancarkan tembakan menggunakan raifal dikenali sebagai Snipex Alligator sepanjang 195.6 sentimeter. — Agensi

SEORANG askar Ukraine dikatakan melepaskan tembakan kedua paling jauh di dunia menggunakan selaras raifal gergasi yang bersaiz lebih panjang daripadanya, lapor Daily Star pada Rabu.

Askar yang identitinya tidak didedahkan itu melepaskan tembakan menggunakan raifal dikenali sebagai Snipex Alligator sepanjang 195.6 sentimeter.

Tembakan tepat itu menjadikannya sebagai tembakan kedua paling jauh yang pernah dicatatkan dalam sejarah menggunakan raifal tepat.

Tembakan pada jarak sejauh 2.7 kilometer (km) itu mengenai seorang askar Russia dalam satu klip video yang disahkan oleh komando Angkatan Tentera Ukraine.

“Penceroboh (Russia) berjaya dihapuskan dengan tembakan tepat pasukan khas dari jarak 2.7km, satu jarak yang kini menduduki tempat kedua dalam ranking dunia, disahkan oleh komando Pasukan Tentera,” demikian menurut kenyataan Pasukan Tentera Ukraine.

Tembakan itu berada di tempat kedua di belakang seorang penembak tepat dari Kanada yang menembak seorang anggota militan Daesh di Iraq pada jarak 3.4km pada 2017.

Selain itu, Pasukan Tentera Ukraine berkata, mereka menggunakan raifal Snipex Alligator itu hanya untuk 'memburu'.

"Semasa pada hari kejadian ketika waktu senja, penembak tepat unit pasukan khas pergi memburu pihak lawan dan mereka melakukan kerja itu dengan cepat dan tepat," jelasnya.

Bukan semua anggota tentera mampu mengendalikan raifal Snipex Alligato itu kerana saiznya yang besar dan mampu menghancurkan musuh sehingga berkecai.

Dengan tembakan itu, Daily Star melaporkan rekod penembak tepat dari British, Craig Harrison jatuh di tangga ranking yang ketiga.

Harrison mendapat pengiktirafan tembakan jarak jauh itu semasa dia berjaya menembak seorang askar Taliban pada 2009 dengan catatan jarak 2.47km. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram