![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2022/11/06/1807336.png)
TINDAKAN sekumpulan lelaki mengejutkan seorang penunggang motosikal yang tertidur di atas kenderaannya di tengah jalan tular di media sosial Thailand baru-baru ini.
Video berdurasi satu minit 50 saat itu dirakam oleh salah seorang lelaki kumpulan tersebut sebelum dikongsikannya ke dalam Facebook, Hear On Board, lapor Thaiger pada Khamis.
Menerusi video itu memaparkan sekumpulan lelaki terbabit cuba mengejutkan penunggang motosikal terbabit yang sedang tidur lena dengan mulut ternganga di atas kenderaannya pada waktu malam.
“Abang bangun, kamu tahu tak yang kamu sedang tidur di tengah jalan sekarang? Tolong bangun,” kata salah seorang lelaki kepada penunggang motosikal yang sedang tidur itu.
Apabila penunggang itu sedar daripada tidur, dia kelihatan sangat keliru dan sempat memberitahu kumpulan tersebut bahawa dia tidak mabuk dan menunjukkan isyarat dua jari untuk membuktikan bahawa dia dalam keadaan baik-baik saja.
Penunggang motosikal itu kemudian meminta bantuan kumpulan lelaki tersebut untuk menghantarnya pulang ke rumah kerana dia berasa tidak berdaya untuk menunggang motosikalnya sendiri.
Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar kejadian, namun yang pasti jalan itu tidak seperti jalan utama yang biasa dilihat di Bangkok, Thailand.
Jalan raya di ibu kota Thailand itu pada umumnya sangat sibuk dan berbahaya tidak kira waktu siang ataupun malam.
Orang ramai juga sempat meninggalkan komen di video tersebut memuji kumpulan lelaki terbabit yang sudi membantu penunggang motosikal berkenaan.
Pada masa sama, ada juga netizen yang menyangkakan pemuda itu diserang penyakit jantung sebelum maut, mujurlah ajalnya belum sampai.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram