[VIDEO] Leka main sorok-sorok, budak perempuan terperangkap dalam mesin basuh


  • Benua
  • Khamis, 13 Okt 2022

Tangkap layar anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam tiub mesin basuh itu. — Agensi

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia empat tahun terperangkap dalam tiub pengering mesin basuh di Kota Padang, Indonesia pada Rabu.

Dalam kejadian pukul 9.14 malam itu, mangsa, Nafisa Fazila berjaya diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam tiub mesin basuh terbabit di Jalan Bariang Cubadak Ampo, Desa Anduring, daerah Kuranji, Kota Padang.

Video anggota bomba menyelamatkan kanak-kanak yang terperangkap dalam tiub mesin basuh itu kini tular sejak Khamis.

Menerusi video perkongsian di media sosial menunjukkan seramai tiga anggota bomba cuba untuk mengeluarkan budak perempuan itu dari tiub mesin basuh berkenaan.

Rakaman video anggota bomba cuba menyelamatkan budak perempuan itu.

Salah seorang anggota bomba kemudiannya meletakkan tiub mesin tersebut ke lantai dan cuba mengangkat budak itu keluar secara perlahan-lahan sebelum mangsa berjaya dikeluarkan tanpa memecahkan tab mesin basuh.

Sementara itu, kejadian berkenaan turut disahkan Ketua Operasi Kemudahan dan Infrastruktur Bomba Padang, Sutan Hendra.

Menurutnya, Nafisa terperangkap dalam mesin basuh kerana bermain sorok-sorok dengan abangnya.

“Budak perempuan itu tidak boleh keluar sendiri dan orang tuanya pula panik. Keluarga itu segera menghubungi pihak bomba,” kata Sutan Hendra pada Rabu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram