
SEORANG ustazah bernama Taslimah meninggal dunia ketika memimpin bacaan tahlil dan khatam al-Quran di Masjid As Syafiiyah, Jalan Al Barkah, Tebet, Jakarta Selatan, Indonesia.
Momen itu sempat terakam dalam video dan menjadi tular di media sosial.
Penjaga Masjid Al Barkah As Syafiiyah, Alwy Rasyid, mengesahkan peristiwa sedih itu.
Menerusi rakaman tular tersebut, Taslimah dilihat membaca Surah al-Baqarah ayat 5-6.
Semasa membaca ayat keenam, suara Taslimah kedengaran lemah. Arwah yang sedang duduk tiba-tiba rebah sebelum jemaah wanita lain segera membantunya.
Alwy Rasyid mengesahkan Ustazah Taslimah meninggal dunia ketika memimpin khatam al-Quran pada Khamis (15 September).
"Taslimah meninggal pagi Khamis pukul 7.30 pagi. Arwah bertugas membaca al-Quran dan tahlil lengkap. Ketika membaca sepotong ayat, suaranya mula lemah tetapi dia terus mencuba," kata Alwy kepada CNNIndonesia.com.
Alwy memberitahu, Taslimah merupakan salah seorang ustazah yang sering ditugaskan memimpin bacaan doa dan mengaji di masjid.
Dia menyifatkan Taslimah sebagai individu yang pendiam dan sopan.
Dikhabarkan juga, arwah Taslimah sempat menziarahi kubur ibu Alwy yang terletak berhampiran masjid sebelum program mengaji itu dimulakan pada hari tersebut.
"Tilawah ini diadakan secara rutin pada setiap Khamis. Namun, bacaan pada hari berkenaan juga sempena hari ke-100 pemergian ibu Alwy," lapor Detik.com. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram